Gaji siswazah turun, lepasan PT3, SPM naik



KUALA LUMPUR 27 Mac - Gaji permulaan siswazah baharu di Malaysia mencatatkan penurunan sejak 2010.

Menurut Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM), siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji sebanyak RM1,376 pada tahun 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Katanya, siswazah berkelulusan ijazah Sarjana pula memperoleh gaji sebanyak RM2,707, iaitu penurunan gaji yang ketara daripada RM2,923 pada tahun 2010.

“Bukti yang ada menunjukkan kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi mungkin merupakan faktor penting dalam isu ini.

“Antara tahun 2010 hingga 2017, bilangan pemegang diploma dan ijazah dalam tenaga kerja secara purata meningkat sebanyak 173,457 orang setahun.

“Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada pertambahan guna tenaga bersih dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi, iaitu 98,514 orang setahun.

“Keadaan ini menunjukkan ekonomi negara tidak mewujudkan jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan,” katanya dalam laporan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Laporan tahunan BNM itu juga mendapati, menerusi kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Khazanah, 95 peratus daripada pekerja muda berada dalam kategori pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran manakala 50 peratus daripada pekerja yang membuat pekerjaan berkemahiran rendah secara manual mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada yang diperlukan.

Selain itu laporan BNM itu juga menyebut pelaksanaan gaji minimum telah memacu peningkatan gaji pekerja berkemahiran lebih rendah dalam tahun-tahun kebelakangan ini sekali gus membolehkan gaji permulaan golongan berkenaan lebih tinggi berbanding pekerja berpendidikan tinggi.

“Sementara gaji permulaan siswazah dalam nilai benar menurun, gaji permulaan benar bagi pekerja berkelulusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masing-masing meningkat sebanyak 4.6 peratus dan 2.3 peratus.

“Oleh itu, walaupun berpendidikan tinggi, pekerja terpaksa menerima atau membuat pekerjaan yang lazimnya tidak memerlukan tahap pendidikan tinggi sedemikian.

“Akibatnya, dengan bekalan siswazah yang lebih daripada mencukupi dan permintaan syarikat untuk siswazah yang tidak banyak berubah, gaji siswazah terus menghadapi tekanan menurun,” katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...