Festival Layang-Layang Antarabangsa Kabong beri nilai tambah landskap pelancongan Sarawak



KABONG: Penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Kabong (KIKF) memberi nilai tambah kepada landskap pelancongan negeri Sarawak dan negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 40 Kabong, Mohd. Chee Kadir.
Chee yang berucap pada Majlis Perasmian KIKF pada Ahad berkata penglibatan 30 negara dalam KIKF merupakan petunjuk jelas kepada minat tinggi masyarakat antarabangsa untuk datang ke negara ini dan Sarawak khasnya.
“Penganjuran acara pada tahun 2018 kita menerima kehadiran 10 buah negara. Pada masa itu kita menjadikan acara itu sebagai satu percubaan berani atau ‘test market’ bagi acara layang-layang antarabangsa bertapak di Pantai Tanjung Kembang. Kejayaan cemerlang dalam penganjuran edisi sulung telah memberi keyakinan kepada kita meneruskan pengelolaan untuk edisi yang kedua pada tahun ini.

“30 buah negara yang terlibat merupakan jumlah yang mampu kita terima untuk turut serta berbanding permintaan yang lebih banyak ingin terlibat. Namun kekangan dalam banyak perkara terutama untuk penginapan peserta telah menyebabkan penyertaan dihadkan kepada 30 penyertaan, ” ujarnya.
Sehubungan dengan itu beliau berharap acara tersebut mampu membawa impak positif terutama dari segi peningkatan ekonomi penduduk.
Acara itu juga katanya telah memberi peluang kepada peniaga dari seluruh negeri mencari rezeki sepanjang berlangsung aktiviti tersebut.
Tambah Chee sasaran berfokus untuk pantai berkenaan adalah menjadikannya sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang beridentiti sendiri dan mempunyai tarikan tersendiri pada masa depan.

Sehubungan dengan itu katanya beberapa tambahan kepada infrastruktur di pantai itu akan dilakukan bagi memberi kemudahan pengunjung.
“Sebuah dewan serba guna akan dibina selepas ini dan turut akan dibina mini taman tema air bagi menarik kehadiran pengunjung. Semuanya sudah ada peruntukan dan hanya menunggu masa pihak kontraktor yang diamanahkan memulakan kerja-kerja pembinaan, ” ujarnya.
Hadir sama Pengerusi Pengelola KIKF , Haji Mohd. Rashdan Haji Hazemi yang juga merupakan Pegawai Daerah (DO) Kabong, Pengerusi Bersama KIKF, Kamaludin Haji Alkap yang juga merupakan bekas DO Kabong, Timbalan Pengerusi Majlis Pelayang Malaysia, DSP Mohd. Nazri Ismail, serta tetamu jemputan khas yang lain.
KIKF 2019 telah berlangsung dari 8 hingga 11 Mac lalu bertempat di Pantai Tanjung Kembang Kabong dengan melibatkan penyertaan 30 buah negara.-SarawakVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...