SIBU: Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan rakannya ketika berburu di di kawasan Putai di Kapit, petang Sabtu.
Mangsa dikenali sebagai Liee Amat, 40, dari Rumah Roma, Sungai Ranan di Kanowit.
Pada hari kejadian iaitu sekitar 3 petang selepas tiba di Putai, empat daripada mereka turun ke sungai bagi memasang pukat, sementara mangsa dan suspek masuk ke hutan untuk memburu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek telah berpecah di lokasi memburu.
"Suspek terdengar bunyi haiwan bergerak di kawasan berlukar sebelah kanan dalam lebih kurang 100 kaki dan menyangka ia merupakan seekor babi hutan.
"Tanpa berfikir panjang, dia terus melepaskan tembak dan terdengar suara rakanya menjerit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Freddy berkata, suspek yang berlari ke arah bunyi tersebut kemudian mendapati rakannya terbaring dalam keadaan berlumurah darah.
Menurutnya, mangsa kemudian keluar dari hutan untuk memanggil empat lagi rakan di sungai bagi meminta bantuan.
"Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi, mereka mendapati rakan mereka tidak bernyawa lagi," katanya.
Suspek dan empat lagi rakannya membawa keluar mayat rakan mereka dari hutan sebelum membuat laporan polis dan menyerahkan mayat kepada polis.
Suspek berusia 44 tahun dikatakan berasal dari rumah panjang yang sama dengan mangsa.
Freddy berkata, siasatan awal mendapati senapang yang digunakan adalah milik suspek dan mempunyai lesen berdaftar.
"Pihak kita telah mengambil keterangan dari suspek dan empat rakannya yang lain. Kita telah menahan suspek dan merampas barang-barang kes.
"Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kapit dan kita akan memohon reman," katanya sambil menambah siasatan masih diteruskan.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment