Berselindung di sebalik kedai VCD jual loteri haram





Polis sedang menjalankan pemeriksaan
SIBU: Aktiviti perjudian nombor ekor berselindung di sebalik kedai menjual cakera padat video (VCD) terbongkar apabila premis itu diserbu polis hari ini.

Pasukan D7 Bahagian Sliasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu diketuai oleh Inspektor Hairul Hussin membuat serbuan sekitar 4.30 petang, mendapati tiga remaja perempuan berumur antara 17 hingga 18 tahun sedang berada di kaunter, dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan loteri haram.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin berkata, pihaknya kemudian menahan tiga remaja yang merupakan penjaga premis berkenaan di Sibu Jaya berkenaan untuk membantu siasatan.

"Selain menjaga kedai menjual CD, mereka bertiga juga menjalankan aktiviti lain iaitu menjual nombor ekor haram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan katanya, polis menjumpai dua buah telefon bimbit, dua pen dakwat dan sebuah kalkulator dipercayai digunakan untuk menjalankan penjualan nombor loteri haram.

Polis kemudian bertindak merampas barang kes tersebut dan wang tunai berjumlah RM642 dipercayai hasil daripada kegiatan jual beli loteri awam haram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, dalam serbuan, yang berasingan, seorang perempuan berumur  25 tahun dicekup kerana kesalahan sama oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu diketuai oleh ASP Irwan Hafiz Radzi di Sungai Merah dekat sini pada pukul 11 pagi tadi.
 
"Sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM308 dipercayai hasil penjualan nombor loteri haram daripada suspek," katanya.

Tambahnya,  kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) akta sama.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...