Bas elektrik pertama di Kuching lonjak industri pelancongan Sarawak



KUCHING: Bas elektrik pertama Sarawak yang beroperasi di beberapa laluan di bandaraya Kuching disifatkan sebagai bukan hanya suatu lonjakan kepada industri pelancongan tempatan tetapi juga merupakan pengangkutan awam yang memudahkan pergerakan orang ramai di sini.

Dilancarkan pada 1 Mac lepas oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, bas elektrik itu menawarkan operasi perkhidmatan secara percuma selama tiga bulan meliputi 26 stesen, antaranya Open Air Market, Tebingan Kuching, iCom Square dan Muzium Sarawak.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati penduduk tempatan dan pelancong asing memberi sambutan positif berdasarkan pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan bas percuma itu.

Hanaffi Bujang, 31, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, bas elektrik ini adalah cara yang selesa dan mudah bagi penduduk tempatan serta pelancong untuk meneroka bandar raya ini kerana ia juga dilengkapi ciri-ciri mesra OKU bagi mereka yang
menggunakan kerusi roda.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri meningkatkan jumlah destinasi laluannya bagi memenuhi permintaan orang ramai.

Pelancong Australia, Dominic Ibbotson, 43, berkata beliau sudah biasa dengan bas elektrik kerana di negaranya, sistem pengangkutan sama digunakan sejak beberapa tahun lepas, bagaimanapun perjalanan itu dikawal komputer dan tanpa pemandu.

Berada di negeri ini selama seminggu, yang dikunjunginya buat kali pertama, beliau menyifatkan kemudahan itu sebagai permulaan yang baik untuk melonjakkan industri pelancongan domestik.

Sementara itu, pemandu bas elektrik, Kuan Fung, 48, berkata beliau menerima banyak maklum balas positif daripada masyarakat berhubung penambahbaikan pengangkutan awam di Sarawak, misalnya menyediakan maklumat lebih baik berkaitan jadual harian bas dan waktu operasi.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata kesudahannya, lebih 100 buah bas, setiap satu bernilai antara RM1.2 juta dan RM1.4 juta, akan beroperasi secara berperingkat.

Perkhidmatan itu juga dijangka diperluaskan ke bandar raya seperti Sibu dan Miri.– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...