APMM Sarawak tahan nelayan Vietnam




Musli menunjukkan bot yang digunakan nelayan Vietnam mencuri hasil laut negara.
KUCHING: Padah 'curi' ikan di perairan negara, tiga warganegara Vietnam bersama bot nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, awal pagi Ahad.

Penolong Pengarah Kanan Unit Carilamat dan Bantuan Bencana APMM Sarawak Leftenan Komander Maritim Musli Jaffar, mereka yang terdiri daripada seorang tekong dan dua awak-awak itu ditahan sekitar pukul 5.30 pagi berhampiran 52.6 batu nautika barat laut Tanjung Sirik, dekat sini.

"Semasa anggota kami melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan asing tersebut mendapati tekong dan awak-awak gagal menunjukkan sebarang bukti pengenalan diri yang sah apabila diminta berbuat demikian," katanya pada sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas), Muara Tebas di sini hari ini.

Musli menambah, kejayaan itu hasil maklumat yang disalurkan oleh nelayan tempatan yang diterima pihak APMM Sarawak pada Jumaat lepas.

"Dengan maklumat tersebut, kami mengkoordinasikan operasi untuk menangkap nelayan asing yang rakus mengaut dan mencuri hasil-hasil laut negara," tegasnya.

Tiga nelayan Vietnam ditahan selepas menceroboh perairan negara
Selain itu, beliau memberitahu, APMM Sarawak turut menyita bot dan ikan pelbagai jenis yang dianggarkan seberat 200 kilogram.

"Kesemua kru dan bot asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Menurutnya lagi, APMM Sarawak sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon perairan negara.

"Ini bagi memastikan keselamatan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang.

"Sehubungan itu, orang ramai terutamanya masyarakat nelayan yang mempunyai maklumat mengenai pencerobohan bot nelayan asing atau sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara khususnya di Sarawak menyalurkan maklumat kepada pihak APMM Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam," ujarnya.-UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...