2 anak, menantu disahkan ada masalah mental



KEADAAN seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa dera oleh anak dan menantunya sendiri di Flat Sri Desa Wawasan. - Foto ihsan pembaca

BUKIT MERTAJAM: Dua anak serta seorang menantu yang dipercayai mendera ibu mereka berusia 64 tahun sehingga warga emas itu cedera di seluruh badan, disahkan mengalami tekanan perasaan dan ada masalah mental.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata ia disahkan melalui rawatan psikiatrik yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 28, 32, dan 35 tahun di Hospital Bukit Mertajam (HBM) hari ini.

“Ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod rawatan psikiatrik sebelum ini kerana tidak pernah ke hospital.

“Pada masa sama, ibu mereka juga turut dibawa untuk menjalani rawatan psikiatrik namun dia tidak memberikan kerjasama dan doktor memerlukan sedikit masa untuk mengetahui keadaan mental mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, polis menyelamatkan seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa dera oleh anak dan menantunya sendiri di Flat Sri Desa Wawasan, di sini.

Ketika diselamatkan, wanita terbabit cedera teruk di kepala dan seluruh anggota badan.

Sebelum itu, polis percaya punca wanita warga emas itu didera disebabkan masalah kewangan berikutan keadaan kediaman keluarga itu yang amat daif, selain terpaksa mengemis apabila mengalami kesempitan wang.

Malah, mangsa yang turut dipercayai mempunyai masalah mental dan kemurungan itu juga tidak mengaku dia dipukul oleh anak-anak sebaliknya mendakwa dirinya terjatuh.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, semua suspek tidak bekerja dan hanya bergantung kepada wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, seorang anak dan menantu mangsa adalah penerima bantuan elaun JKM, masing-masing sebanyak RM400 sebulan.

“Dua kanak-kanak iaitu anak semua suspek terbabit yang berumur enam dan 10 tahun kini diserahkan kepada saudara terdekat untuk dijaga sementara waktu.

“Kita juga tidak akan menahan reman ketiga-tiga suspek kerana mereka adalah pesakit mental,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...