11 lelaki ditahan kerana terlibat sabung ayam

DICEKUP: Antara suspek yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti sabung ayam, petang kelmarin.

SIBU: Seramai 11 lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam telah ditahan di satu kawasan tanah lapang di tepi jalan Pulau Kerto di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu Stanley Jonathan Ringgit berkata, kesemua lelaki warga tempatan yang ditahan adalah berusia antara 26 hingga 60 tahun.

“Mereka ditahan dalam satu serbuan dan tangkapan Ops Dadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu jam 1.30 petang kelmarin (Sabtu).

“Dalam operasi itu, kita berjaya merampas lima ekor ayam sabung hidup, seekor ayam sabung yang telah mati, sekeping papan jadual untuk tujuan pertaruhan, sebilah taji ayam dan seunit penimbang,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Menurut Stanley, kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Penganiayaan Terhadap Binatang 1960.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis menahan seorang lelaki di sebuah kedai runcit di Sungai Merah di sini kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti tambah nilai judi dalam talian.

Antara barangan yang ditahan daripada saspek yang juga penjaga premis itu adalah seunit telefon bimbit dan wang tunai RM224.

Kes akan disiasat di bawah seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...