Pam elektrik (gambar sisipan) digunakan oleh mangsa yang cedera untuk menyedut air dalam rumah
SIBU: Seorang wanita berusia 65 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika kerja menyedut air yang membanjiri rumah dijalankan di Jalan Saga, Lanang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit, mangsa yang dikenali sebagai Tambi Nabian ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anak lelakinya sebelum disahkan meninggal dunia sekitar 8 pagi.
Dalam kejadian itu katanya, anak mangsa, 43, menjalankan kerja menyedut air menggunakan pam elektrik selepas mendapati air dalam rumah belum surut sepenuhnya.
"Ketika anak mangsa menggunakan pam elektrik, tiba-tiba si ibu yang berdiri dalam air tidak jauh dari situ terkena renjatan elektrik manakala dia (anak) sempat melompat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, anak mangsa kemudian menghubungi ahli keluarga untuk bantuan.
Anak mangsa dihantar ke hospital oleh pihak keluarga manakala si ibu disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
Keadaan mangsa yang cedera kini dilaporkan stabil.
Stanley berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur-unsur jenayah berhubung insiden itu.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," tambahnya.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment