SIBU: Seorang lelaki warganegara India ditahan di Hadapan Gate P19 Perlepasan Antarabangsa KLIA2 kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan menawarkan pekerjaan yang tidak wujud kepada lapan lelaki senegaranya di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superitenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditangkap oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah KLIA pada pukul 9.25 malam tadi.
"Polis juga merampas sebuah telefon bimbit semasa pemeriksaan ke atas suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, katanya, seorang daripada lapan mangsa terbabit membuat laporan polis selepas mereka ditipu oleh suspek dengan kerugian berjumlah RM2,400.
Katanya, pengadu memberitahu dia telah melayari laman sesawang Facebook dan telah berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai 'Avisher Kumar Mishra' yang memperkenalkan diri sebagai ejen pekerjaan untuk sebuah syarikat perkapalan di sini pada Januari lalu.
Susulan itu, pengadu datang ke Sibu dan berjumpa dengan suspek untuk perbincangan lanjut pada 1 Februari lalu.
Pada 10 Feb lalu, pengadu dan tujuh rakannya dikehendaki membuat pembayaran bagi proses pendaftaran sebanyak RM300.00 setiap seorang.
"Setelah pembayaran berjumlah RM2,400 dibuat, mangsa dijanjikan pekerjaan di sebuah syarikat perkapalan dan sepatutnya bermula bekerja pada semalam (Rabu), " katanya.
Bagaimanapun, pengadu mendapati tawaran pekerjaan tersebut tidak wujud dan ejen berkenaan gagal dihubungi dan disyaki telah melarikan diri.
Pengadu dan rakannya kemudian membuat laporan polis selepas mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM2,400.
Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment