DIRAMPAS: Papan kerajang merah disyaki dadah jenis Nimetazepam sebanyak 49 biji yang berjaya ditemui ketika pemeriksaan dibuat pada ketiga-tiga suspek.
MIRI: Seorang wanita ditahan bersama dua lelaki dalam sebuah kereta di lot parkir tepi Jalan Bendahara di sini petang kelmarin setelah disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
Wanita berusia 31 tahun itu dan dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 27 tahun merupakan warga tempatan.
Dalam tangkapan tersebut, polis berjaya merampas tiga papan kerajang merah disyaki dadah jenis Nimetazepam sebanyak 49 biji dengan berat kasar 13.36 gram dan dianggarkan bernilai RM1,200.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, tangkapan berjaya dibuat sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kira-kira jam 1.15 petang.
“Dalam jam tersebut dan di lokasi berkenaan, sepasukan anggota polis telah menahan sebuah kereta dan menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Seterusnya pemeriksaan polis turut menjumpai tiga papan kerajang merah disyaki dadah jenis Nimetazepam sebanyak 49 biji,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Sehubungan itu, kesemua suspek kemudiannya dibawa balik ke pejabat BSJN IPD Miri untuk tindakan lanjut.
“Suspek juga telah menjalani ujian saringan awal polis dan hasilnya didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
“Oleh itu, kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment