Terima kasih Maszlee kotakan janji' - Manyin



 


KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM100 juta tahun ini bagi membina semula dan membaik pulih 33 sekolah daif di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin berkata peruntukan itu disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi tujuan tersebut.

"Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak mahu berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik kerana mengotakan janji untuk memperuntukkan RM100 juta kepada Sarawak untuk membina semula dan membaik pulih 33 sekolah daif (bagi tahun ini).

"Sekarang duit itu sudah ada dengan JKR Sarawak dan kerja-kerja pembinaan dan baik pulih menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan mula dilaksanakan pada bila-bila masa dari sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Pada September tahun lalu, Maszlee ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari berkata Kerajaan Persekutuan berjanji memperuntukan RM100 juta untuk sekolah daif dan kritikal di Sarawak.

Beliau ketika itu turut mendedahkan RM2.7 bilion diperuntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk melaksanakan projek-projek untuk sekolah-sekolah serta fasiliti-fasiliti berkaitan hingga 2010.

Manyin pada November tahun lalu memberitahu terdapat 904 sekolah daif di seluruh Sarawak dan memerlukan sekurang-kurangnya RM3 bilion untuk dinaik taraf atau dibina semula.

Beliau berkata beberapa sekolah daif berkenaan perlu dibina semula sebagai penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi keperluan masa depan pendidikan Sarawak.

Terdahulu Maszlee yang ditemui selepas kunjungan hormat itu berkata pertemuannya dengan Abang Johari dan Manyin telah membuahkan beberapa hasil antaranya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan mencari jalan agar isu sekolah daif di Sarawak dapat diselesaikan bersama.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk memberitahu bahawa berita mengenai 21 sekolah di Sarawak yang diberhentikan bekalan diesel, itu tidak berlaku. 

"Pembekalan diesel akan diteruskan dan pengagihannya ke sekolah-sekolah terbabit adalah seperti biasa," katanya sambil menambah isu pembekalan diesel ke sekolah di Sarawak timbul kerana salah faham.

Maszlee turut memberitahu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju menggalakkan ramai pelajar antarabangsa belajar di Sarawak.

Bagi tujuan itu katanya, beberapa urusan berkaitan kemasukan pelajar antarabangsa ke negeri ini akan dipermudahkan dengan kerjasama dengan kerajaan negeri dari aspek imigresen.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...