Suspek kes penipuan pekerjaan di Kemboja diberkas polis


 


KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun diberkas polis berhubung kes penipuan pekerjaan membabitkan 47 rakyat Malaysia di Kemboja pada pukul 3 petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superitenden Mustafa Kamal Gani berkata suspek kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Sekiranya siasatan terhadapnya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Kuching pada pukul 9 pagi 24 Februari untuk permohonan reman,” katanya menerusi satu kenyataan.

Suspek diberkas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak ketika polis melakukan siasatan awal terhadapnya.

Setakat ini sebanyak 23 orang terdiri daripada 18 lelaki dan lima perempuan telah tampil membuat laporan polis berhubung kes ini, katanya.

Kesemua warga Malaysia yang ditahan di Penjara Banteay Meanchey itu dibebaskan pada 15 Februari dan semua mereka dibawa balik pada 17 Februari.

Mereka yang berusia di antara 19 dan 44 tahun dan terdiri daripada 40 warga Sarawak, tiga Sabah dan empat Semenanjung Malaysia.

Pembebasan mereka diikhtiarkan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Penahanan mereka yang bermula pada 11 Disember tahun lepas didedahkan oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng menerusi sidang media pada 7 Februari.

Pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bersama 40 bekas tahanan, Fatimah tidak menolak kemungkinan tawaran gaji lumayan bekerja di Kemboja itu didalangi oleh warga tempatan.

Semua tahanan dibebaskan tanpa pertuduhan. Mereka diberkas kerana didapati terbabit dengan aktiviti perniagaan perjudian dalam talian tanpa permit di negara terbabit.-Utusan Borneo


No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...