Serah dalang kepada polis, gesa Fatimah



 


Fatimah (tengah), Wan Junaidi (kiri) dan Deddy (kanan) pada sidang media sempena ketibaan 43 bekas tahanan Kemboja di LTAK di sini, hari ini.

KUCHING: Siapa dalang. Ini persoalan yang masih belum terungkai berhubung kes penahanan 47 warga Malaysia di Kemboja, khususnya melibatkan 40 orang anak Sarawak.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, perkara itu diserahkan kepada polis untuk siasatan.

"Bila kami tanya, mereka jawab semuanya dari WeChat termasuk dari segi urusan tiket penerbangan, tawaran gaji dan sebagainya.

"Tarikannya adalah mereka ditawarkan gaji USD 1,000. Jadi mereka cakap, siapa tidak mahu tapi mereka kata tidak tahu siapa syarikat atau agensi yang membawa mereka kerana segala urusan adalah melalui WeChat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena ketibaan 43 bekas tahanan Kemboja merangkumi 40 orang anak Sarawak dan tiga dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Deddy Faisal Ahmad Salleh.

Sementara itu, Wan Junaidi mengakui tahu sedikit sebanyak maklumat berkaitan, namun enggan mendedahkannya.

Katanya maklumat tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum, di mana polis akan berhubung dengan kesemua mangsa untuk siasatan terperinci.

"Dari sudut itu, polis akan siasat. Kami tidak boleh mendedahkan kepada umum," katanya.

Fatimah, Wan Junaidi dan Deddy merupakan delegasi yang dihantar oleh kerajaan Sarawak untuk misi membawa pulang kesemua 47 warga Malaysia yang majoritinya dari Sarawak, sejak ditahan pada 16 Disember lalu selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket pemerdagangan manusia yang menawarkan gaji lumayan.

Setelah kira-kira dua bulan berada dalam tahanan di Penjara Banteay Mancheay, kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh, mereka akhirnya dibebaskan pada 15 Februari  dan dibawa pulang hari ini.

Seramai 40 orang dari Sarawak dan tiga dari Sabah dibawa pulang menaiki pesawat yang disewa dari J C International Airlines, sebuah syarikat penerbangan Kemboja, yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, dari Lapangan Terbang Siem Reap pada jam 12.30 tengah hari dan tiba di LTAK pada 3 petang.

Manakala empat orang lagi, tiga berasal dari Selangor dan seorang dari Kuala Lumpur dibawa pulang menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Seam Reap sekitar jam 8.30 pagi dan tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.35 pagi.-Utusan Borneo
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...