SEB dan RTM lakar sejarah mencatat rekod persembahan sape terpanjang




SEMPURNA: Tetamu jemputan dan kesemua pemain sape yang terlibat merakam kenangan setelah berjaya menyempurnakan 50 jam persembahan sape tanpa henti.

MIRI: Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Persembahan Muzik Sape Terpanjang Tanpa Henti Selama 50 Jam semalam.

Persembahan tanpa henti yang diadakan di Auditorium RTM Miri di sini bermula pada Jumaat lepas sehingga semalam itu tamat tepat jam 12 tengah hari.

Sijil pengiktirafan itu diserahkan Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran MBOR Edwin Yeoh kepada Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Korporat SEB Aisah Eden dan Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak Zainal Abidin Asri Abdul Wahid yang mewakili Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Abdul Muis Shefli.

Aisah ketika ditemu bual pemberita pada sidang media semalam menyifatkan persembahan muzik sape tanpa henti selama 50 jam bukannya mudah untuk dicapai namun berkat kesungguhan pelbagai pihak terutama pemain-pemain sape yang terlibat telah merealisasikan hasrat untuk dicatatkan rekod dalam MBOR.

“Pertama sekali saya ingin berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada 54 pemain sape handalan yang berjaya menamatkan persembahan muzik sape terpanjang tanpa henti selama 50 jam.

“Kami di SEB berharap ini adalah satu permulaan yang baik untuk kita memaparkan budaya-budaya unik yang lain di negeri ini pada masa akan datang di samping untuk mempromosikan pemuliharaan warisan dan budaya pelbagai kaum,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pencapaian mendapat pengiktirafan MBOR semalam.

Sementara itu, beliau turut berharap melalui inisiatif ini, minat golongan muda untuk mengekalkan kebudayaan muzik tradisional sape dapat diterapkan.

“Acara seperti ini sebenarnya bagus untuk meningkatkan minat orang ramai terutama generasi muda dan mungkin melalui ini mereka mahu meneruskan tradisi ini kelak.

“Inisiatif ini seiring dengan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEB untuk membangunkan generasi muda bukan sahaja pada pendidikan, malah kesenian seperti muzik tradisional sape,” ujarnya.

Persembahan sape terpanjang tanpa henti ini menampilkan seramai 54 pemain sape handalan dari Baram, Tinjar dan Belaga yang memainkan sebanyak 59 melodi sape asal yang dimainkan secara bergilir-gilir.

Persembahan kali ini turut disertai seorang pemain orang kurang upaya (OKU) Stephen Kayang Uloi, 36, dari Long Siut, Serungo, Baram.

Dua pemain termuda dicatatkan berusia 14 tahun dan seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun serta tiga orang wanita turut menyertai persembahan sape kali ini.

Persembahan muzik tradisional sape terpanjang tanpa henti itu mencatatkan jumlah pengunjung lebih 5,000 orang sepanjang tiga hari ia berlangsung.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...