Abang Jo ditemani Jumaani, Uggah, Sim dan Ting menggaul hidangan Yee Sang tanda simbolik perasmian majlis makan malam TBC SUPP Miri Sibuti pada Jumaat.
MIRI: Kerajaan negeri Sarawak tidak hirau dianggap terlalu bercita-cita tinggi untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, impian itu adalah pelaburan kerajaan negeri untuk memberi balik kepada rakyat.
"Sekarang masih dalam proses perbincangan. Kita mahu ada syarikat penerbangan kita sendiri. Kerajaan negeri perlu melabur membangunkan infrastruktur termasuk penerbangan.
"Ada orang cakap very ambitious (terlalu bercita-cita tinggi). Oklah. Ambitious, ambitiouslah. Don't care (tidak peduli) lah. Kita memiliki dana. Asalkan tidak merugikan," katanya nya pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri-Sibuti malam Jumaat.
Beliau memberitahu, Sarawak masih berdepan masalah kekurangan jaringan pengangkutan udara yang memberi kesan terhadap pertumbuhan industri pelancongan.
Sarawak mahu membuka destinasi pelancongannya kepada negara luar dengan adanya lebih banyak penerbangan terus menerusi syarikat penerbangan sendiri.
Di Miri, antara potensi besarnya ialah lapangan sukan golf 36 lubang yang boleh menarik kunjungan pelancong dari Korea serta tarikan alam semula jadi Taman Negara Niah dan Taman Negara Mulu.
"Pelancongan, masalah adalah penerbangan. Infrastruktur sudah ada, tarikan sudah ada, perlu menyelesaikan masalah perhubungan udara dan harus ditangani.
"Beri saya masa, kerana saya perlu berbincang, saya ada formula tapi saya tidak dapat dedahkan kepada anda malam ini, saya ada formula, anda cuma perlu berdoa, tolong saya realisasikan ini," jelasnya.
Hadir sama Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Presiden SUPP Datuk Dr Sim Hui Kian, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Liason SUPP Miri-Sibuti Datuk Lee Kim Shin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting selaku pengerusi pengelola.
-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment