Pembantu gudang rugi RM94,250 ditipu kenalan Facebook




KUCHING: Seorang pembantu di sebuah gudang, di sini mengalami kerugian mencecah RM94,250 selepas diperdaya sindiket scam sejak November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata lelaki berusia 40 tahun itu berkenalan dengan seorang wanita warganegara Amerika Syarikat melalui Facebook, yang mendakwa sedang menuntut di sebuah universiti swasta di Miri.

“Sejak perkenalan itu, suspek sering kali meminta wang dari mangsa atas alasan untuk urusan sekolah dan keluarganya.

“Mangsa telah memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM94,250 melalui empat transaksi ke empat akaun berbeza bermula 10 Januari dan terakhir pada 31 Januari lalu,” kata Mustafa dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mustafa Kamal memberitahu mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas dihubungi oleh ‘bapa’ wanita terbabit menerusi WhatsApp.

“Bapa wanita terbabit mendakwa mengirimkan sesuatu kepadanya dan barang tersebut telah sampai di Malaysia.

“Mangsa kemudian menerima panggilan telefon dari seorang wanita yang memperkenalkan dirinya ejen sebuah syarikat yang bertanggungjawab terhadap barang yang dihantar oleh bapa wanita terbabit.

“Bagaimanapun mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila ejen terbabit memintanya memasukkan RM40,800 ke dalam satu akaun bank sebagai bayaran untuk urusan pengeluaran barang tersebut,” katanya.

Mangsa selepas dinasihati oleh rakan-rakannya kemudian terus membuat laporan polis pada Selasa.
Kes tersebut kini masih dalam siasatan.

“Orang ramai boleh berhubung dengan pihak JSJK Sarawak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi mendapatkan pandangan dan nasihat sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau keraguan berhubung perkara sebegini,” kata Mustafa Kamal.-Utusan Borneo
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...