Man City julang Piala Liga





LONDON: Manchester City mengekalkan trofi Piala Liga selepas menewaskan Chelsea 4-3 menerusi penentuan penalti, awal pagi tadi yang turut menyaksikan pergeseran membabitkan bos The Blues, Maurizio Sarri dan penjaga gol Kepa Arrizabalaga.

Pengendali dari Itali itu cuba mengeluarkan penjaga gol termahal dunia itu ketika permainan menghampiri tempoh 120 minit pada masa tambahan selepas permainan berakhir 0-0.

Kepa menerima rawatan berikutan kecederaan pada minit-minit terakhir permainan tetapi rekod menyelamatkan penaltinya lebih buruk berbanding penjaga gol simpanan, Willy Caballero yang ingin dimasukkan Sarri.

Penjaga gol City, Ederson menafikan sepakan Jorginho manakala David Luiz menggegar palang sebelum Raheem Sterling meledak jaringan kemenangan mengecewakan Kepa.

Perlawanan itu begitupun boleh dianggap kejayaan buat Sarri di mana skuad kendaliannya sebelum ini melakar kekalahan terbesar sejak 1991 apabila tewas 6-0 kepada City dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Kekalahan turut menyaksikan prospek Sarri untuk hilang jawatannya semakin tinggi selepas skuad kendaliannya juga tersingkir dalam saingan Piala FA oleh Manchester United, minggu lalu.

Menentang City, Sarri menggunakan pendekatan lebih berhati-hati dengan merehatkan penyerang baharunya, Gonzalo Higuain dan menyenaraikan Eden Hazard bagi mengemudi bahagian depan seperti ketika Chelsea menewaskan City 2-0, Disember lalu.


PEMAIN Manchester City, Ederson beraksi dalam perlawanan menentang Chelsea pada aksi Piala Liga di Stadium Wembley, London, awal pagi tadi. Foto AFP

Begitupun, tindakannya menyaksikan pasukan kendalian Pep Guardiola menguasai permainan tetapi sukar untuk memecah kebuntuan.

Sergio Aguero yang meledak hatrik bertemu Blues di Etihad sebelum ini juga berjaya dikunci dengan peluang terbaiknya pada babak pertama menerusi voley tetapi tersasar.

City juga terpaksa berdepan masalah kecederaan apabila pemain veteran, Vincent Kompany terpaksa menggantikan Aymeric Laporte pada babak pertama yang memberikan lebih kebebasan buat Hazard.

Chelsea juga menanti dengan penuh debar selepas sejam perlawanan berlangsung bagi menunggu pengesahan Video Bantuan Pengadil yang menafikan jaringan Aguero susulan ofsaid.

Pelan permainan Sarri hampir berhasil ketika permainan berbaki 24 minit apabila Kompany gagal mengekang gerakan Hazard yang kemudian bijak menghantar bola kepada N'Golo Kante tetapi bintang Piala Dunia Perancis itu turut buntu.

Aguero memperoleh peluang untuk menamatkan permainan tiga minit sebelum berakhir tetapi dia sekali lagi dihalang Kepa sebelum penjaga gol Sepanyol itu enggan menerima arahan Sarri untuk digantikan dengan  Caballero.

Situasi itu jelas mencetus berang Sarri yang dilihat berjalan ke terowong persalinan sebelum kembali ke tepi padang.

Kepa berjaya menyelamatkan sepakan Leroy Sane tetapi prestasinya harus lebih baik untuk menafikan sepakan Aguero yang melepasi badannya.

Ilkay Gundogan juga menyempurnakan sepakan sebelum Sterling mengesahkan kemenangan City yang terus berpeluang untuk menjulang tiga lagi trofi di peringkat domestik dan Eropah. - AFP


No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...