Jangan ulangi lagi kesilapan




Othsman (dua dari kanan) menjelaskan prosedur imigrasi pada simbolik Majlis Penyerahan Warga Malaysia yang dibebaskan dari penjara petang tadi.

KUCHING: Warga Malaysia yang dibebaskan selepas menjadi mangsa penipuan di Kemboja diminta menjadikan pengalaman itu sebagai iktibar supaya tidak sewenang-wenangnya terpedaya di masa depan.

Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan, menasihatkan mereka menjadikan pembebasan itu sebagai peluang kedua dan jangan ulangi kesilapan yang sama.

Menurutnya, tawaran gaji lumayan bernilai ribuan dolar Amerika Syarikat (AS) itu ternyata tidak masuk akal dan hanya digunakan untuk menjerat mangsa.

“Jika benar tawaran gaji ribuan dolar AS, sudah pasti rakyat Kemboja akan diambil bekerja.

“Ini hanya penipuan dan kamu perlu menjadikannya iktibar supaya tidak menjadi mangsa lagi,” katanya ketika Majlis Simbolik Penyerahan Rakyat Malaysia daripada Kerajaan Kemboja kepada Kerajaan Malaysia hari ini.

Othsman mewakili kerajaan Kemboja manakala Malaysia diwakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; pegawai kanan Wisma Putra termasuk Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Phonm Penh, Ruzaimi Mohamad dan Pengarah Wilayah Sarawak (Kementerian Luar), Deddy Faisal Ahmad Salleh.

Surat pembebasan dari mahkamah Kemboja turut dibacakan di hadapan semua rakyat Malaysia yang dibebaskan.

Othsman berkata, semua proses dokumentasi termasuk mereka yang kehilangan pasport sudah diselesaikan pihak Imigresen kedua-dua negara.

Katanya, kini tanggungjawab mereka yang dibebaskan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan Malaysia untuk dibawa pulang.
“Keluarga anda (rakyat Malaysia yang dibebaskan) sudah dihubungi bagi memaklumkan pembebasan semalam.

“Hubungan erat antara Kemboja dan Malaysia memudahkan proses rundingan dan pembebasan,” katanya.

Semua 47 rakyat Malaysia akhirnya dibebaskan selepas 65 hari ditahan tanpa bicara selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Hasil rundingan antara Kemboja dan Malaysia menerusi Kementerian Luar dan kerajaan Sarawak membawa kepada pembebasan mereka petang semalam.- BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...