GPS wadah perjuangan rakyat dan negeri Sarawak




BERI SOKONGAN: Asfia menyerahkan bendera GPS kepada tujuh tuai rumah sambil disaksikan Ripin, Lukanisman dan tetamu di Rumah Mokeng, Miri Jumaat lalu.

MIRI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah wadah perjuangan rakyat dan negeri Sarawak yang harus mendapat sokongan semua rakyat negeri ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata penubuhan GPS membenarkan rakyat Sarawak dan pemimpinnya membuat keputusan sendiri membangunkan negeri ini.

“GPS diwakili parti-parti tempatan mampu membuat keputusan sendiri, tahu tentang keperluan dan pembangunan negeri Sarawak,” katanya pada Majlis Pemimpim Bersama Rakyat di Rumah Mokeng Tambom dekat sini Jumaat lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat terus mempertahan perpaduan dan keharmonian kaum yang merupakan penggerak ke arah kemajuan negeri ini.

“Penyatuan rakyat adalah benteng membendung pengaruh luar yang boleh mempengaruhi pandangan rakyat terhadap usaha kerajaan menjaga kepentingan rakyat dan negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat mengingatkan rakyat agar bijak menilai dan tidak mudah terpedaya dengan omong kosong parti lawan.

Menurutnya, masalah perkauman dan perbalahan yang berlaku di luar harus dijadikan iktibar untuk rakyat lebih berhati-hati memilih pemimpin dan kerajaan.

“Rakyat harus berfikir secara logik dan matang sebelum memilih kerajaan memerintah,” jelasnya.

Pada majlis itu, sebanyak tujuh rumah panjang dari kawasan Zon Gudang dan Semburo di Sibuti menerima bendera GPS.

Penerima ialah Rumah Mokeng, Rumah Ungeh, Rumah Awain, Rumah Johnson, Rumah Ngindan, Rumah Sendy dan Rumah Croner.

Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Setiausaha Politik Ketua Menteri Julani Mokhtar, Sharkawi Suhaili dan Abu Seman Jahwie.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...