Bapa tahanan mohon bantuan kerajaan bawa pulang anak




MOHON BAWA PULANG: Ted Sin menunjukkan gambar anak keduanya, Kok Siong yang ditahan di Kemboja ketika ditemui di kediamannya di Taman Malihah Fasa II semalam. 


KUCHING: Bapa kepada salah seorang mangsa pemerdagangan manusia yang ditahan pihak berkuasa di Kemboja memohon bantuan kerajaan untuk membawa pulang anaknya ke tanah air.

Chin Ted Sin, 62, yang berasal dari Taman Malihah Fasa II, Jalan Matang di sini, memberitahu seluruh anggota keluarganya berasa kecewa dan sedih dengan peristiwa yang menimpa anaknya, Chin Kok Siong, yang ditahan bersama 46 rakyat Malaysia di sana, baru-baru ini.

Menurut Ted Sin, berita lanjut mengenai penahanan rakyat Malaysia itu hanya diketahuinya melalui akhbar semalam.

“Maklumat awal mengenai penahanan anak saya kurang jelas sebelum ini kerana hanya dihubungi oleh pegawai polis di Kuala Lumpur yang turut meminta agar menghubungi pihak berkuasa Kemboja mengenai kes tersebut.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa Kemboja yang dihubungi itu tidak dapat memaklumkan secara teliti kes penahanan anak saya, memandangkan dia (pegawai Kemboja) juga tidak mempunyai maklumat lengkap tentang perkara itu,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Borneo dan The Borneo Post  semalam.

Ted Sin berkata, kali ter-akhir beliau bercakap dengan anaknya adalah pada hujung November tahun lalu ketika anaknya memaklumkan bahawa dia sudah selamat tiba di Kemboja.

“Selepas itu, saya tidak menerima khabar berita daripadanya lagi sehinggalah pihak polis di Kuala Lumpur menghubungi saya, selain daripada berita akhbar yang menyatakan anak saya antara warga Malaysia yang ditahan di Kemboja,” katanya
Sehubungan itu, beliau merayu bantuan pihak ber-kenaan termasuk kerajaan untuk melakukan usaha membawa pulang semua rakyat Malaysia yang ditahan.

“Malah, saya turut memohon kepada wakil-wakil rakyat di kawasan saya untuk tampil bersama membantu dalam hal ini,” katanya.

Ditanya bagaimana sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, Ted Sin berkata, nikmat kegembiraan untuk menyambut perayaan itu tidak lagi membawa sebarang makna kepada mereka sekeluarga.

“Apa yang menjadi keutamaan kami ialah anak kedua kami ini (Kok Siong) kembali dengan selamat ke pangkuan keluarga begitu juga dengan mangsa-mangsa lain,” katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan seramai 47 warga Malaysia kini ditahan di sebuah penjara daerah di Kemboja selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia.

Daripada jumlah itu, 44 orang berasal dari Sarawak, manakala selebihnya dari negeri lain, setelah dijanji-kan pekerjaan dengan gaji lumayan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat.

Kesemua mangsa berusia antara 18 dan 20 tahun dengan lebih kurang satu perempat daripada mereka merupakan gadis.

Mereka ditahan tanpa di-bicarakan di mahkamah dan perkara ini juga tidak dimaklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...