Bangunan MBM baharu legasi Abg Jo kepada Miri



 


MIRI:  Pembinaan bangunan baharu Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menjadi legasi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperingati sumbangannya kepada penduduk Miri.
Berucap pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri - Sibuti, Abang Johari berkata, projek pembinaan bernilai RM70 juta itu penting untuk memperkuatkan imej Miri sebagai bandar raya selain menjadi bangunan ikonik menambah tarikan pelancongannya. 

"Projek ini akan menjadi legasi saya. Sekurang-kurangnya rakyat tahu, ketika saya menjadi Ketua Menteri, saya ada membina dewan bandar raya, " jelas beliau malam Jumaat.

Abang Johari berkata, Taman Pusat Miri Marina Parkcity dipilih sebagai lokasi projek kerana merupakan kawasan pembangunan baharu serta memiliki feng shui baik iaitu menghadap laut. 

Beberapa pihak mengkritik dan mempersoalkan cadangan kerajaan negeri membina bangunan itu di kawasan tersebut. 

"Tanpa Marina, kita perlu kawasan strategik (yang lain) untuk Miri. Kita buat kajian. Ada orang mengadu, buat-buat sudah mengadu. Dia janji-janji tidak ada. GPS janji ada. Itu perbezaan kita dengan mereka. Kita mahu menaik taraf Miri," jelas beliau. 

Abang Johari menambah, pelancongan merupakan agenda utama kerajaan negeri membangunkan ekonomi Miri yang turut melibatkan projek menaiktaraf kemudahan di Taman Negara Niah. 

Gua Niah adalah warisan sejarah kemanusiaan setelah dikenal pasti sebagai penempatan manusia terawal sejak 65,000 tahun. 

Untuk menghidupkan suasana kawasan lama dalam pusat bandar raya, kerajaan negeri akan menukar bekas pejabat Residen dan Daerah sebagai muzium budaya. 

"Kita bersetuju, (bekas) Pejabat Residen, akan menjadi muzim dan pusat budaya. Kerana ia adalah kawasan warisan, akan jadi pusat budaya dan cara untuk memperbaiki persekitaran kawasan itu."

Tentang pelabuhan Miri, beliau telah mempunyai formula untuk mengatasi masalah muara sungai cetek di Kuala Baram yang memerlukan kajian terperinci dan peruntukan besar. 

Perbincangan tentangnya juga diadakan bersama pihak Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) pada dua bulan lalu untuk meneroka kemungkinan bagi memperdalamkan muara sungai Kuala Baram. 

"Kita mahu lakukan sesuatu tentang pelabuhan Miri termasuk gudang di sungai Miri. Kita mahu kaji kos dan aliran sungai sekarang sama ada untuk melaksanakannya kita perlu ada kos penyelenggaraan."

Manakala mengenai projek perumahan di kawasan penempatan semula, kerajaan negeri akan menanggung kos untuk kerja menembok tanah, membina jalan berturap dan parit konkrit dalam polisi baharunya. 

Kerajaan mahu membina rumah pada kadar harga RM60,000 hingga RM150,000 untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

Hadir sama Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Presiden SUPP Datuk Dr Sim Hui Kian, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Liason SUPP Miri-Sibuti Datuk Lee Kim Shin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting selaku pengerusi pengelola.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...