KUCHING: Bergelut, menumbuk muka dan seterusnya menendang kemaluan merupakan antara usaha-usaha mangsa untuk melepaskan diri daripada dicabul lelaki bogel yang tidak dikenali.
Dalam satu insiden di sebuah rumah terletak di Jalan Sungai Apong pada 10 Mei lalu, Mahli Jemi yang berbogel, menindih dan memeluk gadis berumur 24 tahun.
Mangsa sedang tidur ketika diperlakukan oleh Mahli yang berumur 35 tahun dalam kejadian pukul 3 petang itu.
Ketika menyedari badannya ditindih dan mangsa cuba mencium bibir, dia nekad melawan.
Apabila berjaya melepaskan diri daripada tertuduh, mangsa menjerit dan keluar dari bilik sambil memanggil kakak iparnya untuk mendapatkan pertolongan.
Akibat perbuatan itu, Mahli yang berasal dari Sebuyau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula hari ini serta satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mahli yang mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan hanya akur dan senyap apabila hukuman dijatuhkan oleh Majistret Mohd Syukri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 24 tahun itu dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa.
Mahli kemudiannya diberkas polis di rumah sewanya pada 11 Mei.
Untuk kesalahan terbabit, Mahli didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nelson Ensit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment