Saya pun tidak setuju - Wan Saiful




ARAU: Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan supaya peminjam yang gagal membayar hutang tidak dibenarkan ke luar negara.

Sambil menafikan ia adalah cadangan PTPTN, katanya, tindakan berkenaan dilihat terlalu menekan peminjam dan kelihatan seolah-olah PTPTN tidak bertimbang rasa dan secara tegas.

“Sejujurnya saya pun tidak selesa dengan cadangan berkenaan (sekatan ke luar negara dan larangan perbaharui lesen memandu), tetapi sekali lagi saya tegaskan ia adalah cadangan daripada perbincangan antara PTPTN dengan kumpulan tertentu dalam rundingan meja bulat sebelum ini.

”Kita (PTPTN) belum menyatakan keputusan sepenuhnya lagi kerana ia masih di peringkat rundingan, cuma rakyat tersalah faham seolah-olah PTPTN sudah bersedia untuk melaksanakannya berdasarkan laporan sebuah portal berita semalam.

“Rakyat perlu meneliti cadangan dan idea yang dikeluarkan PTPTN di laman sesawang dan jika tidak bersetuju, mereka boleh melontarkan pandangan pada ruangan yang disediakan,” katanya ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan PTPTN mungkin memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika itu yang dimahukan orang ramai.

PTPTN juga dikatakan sedang meneliti beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan, termasuk menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata pihaknya memilih untuk membincangkan setiap cadangan secara umum supaya semua pihak mengetahui perkara yang dibincangkan antara PTPTN bersama beberapa kumpulan profesional sebelum ini dalam merangka Kertas Konsultasi Rakyat.

“Saya juga tidak pernah menyatakan persetujuan agar cadangan itu (sekatan ke luar negara) dilaksanakan kerana mengetahui ia hanya cadangan daripada sebahagian kumpulan profesional dalam rundingan meja bulat sebelum ini,” katanya.

Wan Saiful juga meminta agar semua pihak termasuk parti politik tidak terlalu gopoh menuding jari kepada PTPTN mengenai cadangan yang dikemukakan oleh kumpulan berkenaan.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...