PETRA JAYA: Sarawak memerlukan dana RM154 bilion bagi membiayai projek pembangunan dalam tempoh 11 tahun akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata dana itu penting bagi tujuan membina infrastruktur, bekalan asas dan kemudahan demi memastikan wawasan menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Sarawak tidak mampu bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan, lebih-lebih lagi senario politik negeri ini ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bukannya Pakatan Harapan (PH).
“Berikutan itu, kerajaan negeri melaksanakan langkah tegas untuk meningkatkan pendapatan Sarawak menerusi pelaksanaan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum untuk eksport bermula tahun ini,” katanya dalam ucapan penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Katanya, demi mencapai wawasan menjadi negeri maju, penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBoS) langkah hadapan untuk membiayai secara strategik projek kemudahan asas.
Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan kekal bekerjasama berunding bagi mencari jalan penyelesaian mengembalikan hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Pada 29 April lalu, saya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, bersetuju membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, bagi tujuan pindaan secara pakej Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, pakej pindaan Perlembagaan berkenaan akan dibentang di DUN Sarawak terlebih dulu, sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.
No comments:
Post a Comment