PTPTN: Tak wajar sekat perjalanan ke luar negara - TPM



AMPANG: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cadangan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak wajar dilaksanakan.


Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga belum membuat keputusan untuk melaksanakan semula dasar berkenaan.

“Kita tidak ada apa-apa keputusan. Kita pun rasa bila masa kita berbincang (mengenai sekatan). PTPTN telah memberikan ruang dan peluang untuk anak-anak melanjutkan pengajian mereka namun ada juga segelintir tidak bayar balik.

“Kalau nak ‘rolling’ tu memanglah ada masalah tapi kalau nak buat sekatan-sekatan, tak wajarlah. Kita mesti kaji balik, itu yang kita tentang dan kita protes dulu pun,” katanya.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Salam Iftar Bersama 250 Orang Kurang Upaya (OKU) di Pandan Indah, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.

Baru-baru ini, media melaporkan PTPTN mungkin memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika itu yang dimahukan orang ramai.

PTPTN juga dikatakan sedang meneliti beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan, termasuk menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, dilapor berkata sekatan perjalanan adalah kaedah paling berkesan dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran.

Sementara itu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan akan memastikan dasar satu peratus OKU mengisi jawatan dalam sektor awam dan swasta tercapai.

Katanya, antara langkah yang mungkin dilaksanakan ialah pengecualian cukai kepada majikan.

“Ia dasar lama yang belum dicapai sehingga kini dan kita bersungguh-sungguh mencapainya,” katanya.

Mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin yang turut menggugat wanita, Wan Azizah mahu wanita menjauhi mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Wanita kita tak perlukan pendatang. Jangan layan bagi mengelak diperalatkan untuk kegiatan tidak bermoral dan jadi mangsa,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...