Politik matrikulasi


Kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini menyatakan ramai pelajar Melayu tidak mahu melalui Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) untuk ke pengajian tinggi. Beliau menyatakan matrikulasi diwujudkan sebagai pintu belakang untuk orang Melayu atau bumiputera.

Istilah ‘pintu belakang’ yang digunakan oleh Mahathir tidak tepat kerana ini membawa konotasi yang negatif. Seolah-olah dirancang secara rahsia, tidak melalui saluran undang-undang dan perlembagaan.

Sedangkan kesemua ini di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Istilah tepat ialah program atau saluran khas yang sah untuk pelajar bumiputera di bawah peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan dan mengiktiraf kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri peribumi (bumiputera) Sabah dan Sarawak.

Situasi ini menyebabkan golongan lain tidak berpuas hati lebih-lebih lagi terdapat idea untuk meningkatkan kemasukan orang Melayu dan bumiputera dalam program matrikulasi.

Situasi ini berlaku apabila pada 29 April lepas, Kementerian Pendidikan mengumumkan penempatan ke Program Matrikulasi akan ditambah daripada 25,000 kepada 40,000.Hal ini bermakna ia membolehkan penambahan tempat untuk pelajar bukan Melayu. Pada masa sama mengekalkan kuota pengambilan pada tahap 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera.
Hal ini mencetuskan pelbagai persepsi.

Apabila kemasukan 4000 bukan bumiputera ke program matrikulasi ini merupakan peningkatan sekali ganda daripada sebelum ini. Sedangkan matlamat matrikulasi yang diperkenalkan pada tahun 1998 ini ialah untuk memastikan golongan bumiputera diberikan peluang mendapat orientasi pendidikan tinggi dan mengumpulkan golongan anak-anak golongan bumiputera ini bagi meneruskan pengajian bidang aliran sains tulen dan professional.

Hal ini kerana pelajar Bumiputera lulusan STPM hampir tiada dan pelajar mengambil aliran sains tulen juga berkurangan.

Justeru, matrikulasi ialah pilihan utama bumiputera selain memasuki politeknik dan UITM selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Gambar hiasan

Perkara 153
Di sinilah peranan matrikulasi yang menjadi pusat dan arena utama bumiputera sebelum mereka melangkah ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ini sesuai dengan Perkara 153 dalam Perlembagaan Negara yang antara lain memperuntukkan hak istimewa Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak bagi memperoleh “biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh kerajaan Persekutuan”

Hak
Sebenarnya sistem kuota, biasiswa, pendidikan, latihan, kemudahan khas ini sudah lama terkandung dalam Perlembagaan Negara. Program matrikulasi ialah salah satu daripada hak Melayu dan bumiputera dalam pendidikan ini. Hal ini juga mengambil kira orang Melayu dan bumiputera merupakan golongan berpendapatan rendah dan kurang kemampuan yang terbesar di negara ini.
Malah bilangan professional Melayu dan bumiputera masih lagi rendah iaitu sekitar 38.8 peratus sahaja berbanding dengan golongan bukan bumiputera sekitar 61 peratus dalam bidang profesional seperti akauntan, undang-undang dan perubatan.
Isu program matrikulasi untuk bumiputera tidaklah perlu dipolitikkan kerana ia termaktub dalam hak keistimewaan Melayu dan bumiputera dalam Perlembagaan Negara. Ketika ada pihak mempertikaikan pusat matrikulasi sebagai institusi bumiputera, kita perlu lihat jumlah peratusan bukan bumiputera di Institusi Pengajian Swasta melangkaui atau melebihi 80 peratus.

IPTS tumbuh macam cendawan
Hakikatnya kini, jumlah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kini hampir sama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Kemasukan pelajar Bumiputera pula amat kecil iaitu hanya di sekitar 10 peratus sahaja dan selebihnya kaum-kaum lain. Ini dapat dilihat sendiri di Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University,Herriot Watt University Malaysia Campys, Newcastle University Medicine Malaysia, Monash University Sunway Campus,University of Nottingham Malaysia Campus, University of Southampton Malaysia Campus.

Ini tidak termasuk masuk institusi pengajian swasta lain di negara ini. Begitu juga jumlah pelajar Melayu dan bumiputera sangatlah kecil berbanding golongan bukan bumiputera yang mampu menghantar anaknya menuntut di luar negara. Hal ini kerana golongan Melayu dan bumiputera kebanyakannya penjawat awam bergaji kecil berpendapatan lebih rendah berbanding golongan bukan Melayu majoriti mereka berpendapatan lebih tinggi terutama golongan yang terlibat dalam dunia perniagaan.

Elit dan kelas pekerja
Kita tidak boleh membandingkan golongan elit Melayu dan bumiputera yang lebih berkemampuan berbanding dengan golongan majoriti yang kurang berkemampuan. Golongan elit Melayu dan bumiputera cara berfikir sudah lain, kadangkala tidak berpijak di bumi nyata khususnya persepsi mereka terhadap golongan bumiputera yang kurang berkemampuan.

Lebih ramai lagi golongan bumiputera kurang berkemampuan perlu dibantu khususnya dalam peluang mendapat pendidikan yang terbaik. Sudah pasti program matrikulasi merupakan harapan utama golongan bumiputera kerana di sinilah mereka berpeluang mendapat pendedahan dan latihan berterusan. Di Pusat matrikulasi juga mereka dapat bimbingan yang lebih terlatih, makmal dan ekologi kelompok pelajar yang sama cemerlang dan kompetitif.

Di sinilah mereka mula mengenali dan membina jaringan profesional selain meningkatkan keupayaan diri ke arah melangkah dunia ilmu. Pada ketika ini, pihak kerajaan perlu memikirkan langkah untuk memastikan prasarana yang disediakan matrikulasi dalam keadaan terbaik bagi menampung jumlah tambahan yang dibuat kerajaan ini termasuklah jumlah tenaga pengajar dan kemudahan yang disediakan.

Dalam hal ini, tidak perlu lagi melayan golongan yang mempertikaikan kewujudan program matrikulasi yang sah dan turut diiktiraf sebagai latihan khas untuk bumiputera dalam Perlembagaan Negara. Mempertikaikannya umpama mempertikai hak yang terkandung dalam Perlembagaan Negara!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...