Petronas lancar filem web Baju Burong Apai sempena Gawai Dayak 2019



KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini melancarkan filem web eksklusif bertajuk ‘Baju Burong Apai’ sempena perayaan Gawai Dayak yang akan disambut pada 1 Jun.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik Petronas Zahariah Abd Rahman berkata mesej utama filem web itu adalah untuk individu saling memaafkan antara satu sama lain walaupun sukar untuk memaafkan orang yang telah melukakan perasaan kita tetapi dengan menghulurkan kemaafan, ia akan dapat memulihkan luka lama kita.

“Petronas gembira, dapat memberi penghormatan sempena meraikan dua perayaan besar di Sabah dan Sarawak yang syarikat kami telah berkembang bersama rakyat dan masyarakat di kedua-dua negeri ini.

“Kami menghidangkan dua cerita yang saling berkait. Ia adalah mengenai keluarga, tradisi dan nilai-nilai yang dikongsi bersama sebagai rakyat Malaysia, tetapi ditampilkan dalam gaya dinamis, rakyat Sarawak dan Sabah yang unik,” katanya ketika melancarkan filem web Petronas 2019 sempena Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan di sini hari ini.

Filem web itu mengisahkan mengenai hubungan pertalian kekeluargaan, walaupun berlaku pergeseran dan kecewa dengan anggota keluarga yang lain, anda akan tetap kembali kepada keluarga.

Diarahkan oleh Ismail Kamarul, ia berkisar mengenai seorang bapa bernama Bob, selepas ditanya oleh anak perempuannya adakah dia seorang Iban.

Bob, yang merupakan anak sulung, mendapat idea untuk mengumpulkan semua adik-beradiknya menyertai Gawai Dayak di rumah panjang.

Apabila Bob tiba di Sarawak, berpakaian Baju Burong milik bapanya, beliau memulakan perjalanan, mendapatkan barangan tradisional keluarganya dan berjumpa semua adik-beradiknya yang dia telah lama tidak bertemu terutama adiknya Roy, dalam usaha untuk mengumpulkan semua anggota keluarganya di perayaan itu.

Apabila Bob pergi ke restoran tempat Roy bekerja, berlaku perselisihan faham antara mereka berdua disebabkan pergeseran lama antara mereka, menyebabkan Bob meninggalkan Baju Burong bapanya, di restoran itu.

Penonton boleh log masuk ke saluran jenama rasmi di www.petronasofficial.com untuk menonton filem web berdurasi empat minit, 40 saat yang telah pun disiarkan sejak 17 Mei lepas.– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...