
BAYAN LEPAS: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini gempar seketika apabila seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana menceroboh dan bersembunyi dalam ruang tayar sebuah pesawat kargo.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan selepas ditemui ketika keluar dari ruang tayar pesawat kargo itu yang diparkir.
Difahamkan, lelaki terbabit mahu pulang ke kampungnya di Medan, Indonesia namun tidak mempunyai jumlah wang mencukupi.
Sumber berkata, suspek menceroboh masuk melalui pagar yang berlubang berhampiran tanah perkuburan di Permatang Damar Laut di sini dan berjalan menuju ke pesawat yang di parkir jam 12 tengah malam tadi.
“Suspek dikesan juruteknik yang membaiki pesawat sebelum dia memberitahu pasukan kawalan keselamatan.
“Siasatan awal mendapati suspek bekerja di sebuah tempat memproses ayam di negeri ini sejak sembilan bulan lalu,” katanya.
Sumber berkata, suspek mendakwa dia tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu oleh majikannya dan mahu pulang ke Indonesia, selain siasatan lanjut masih lagi dilakukan.-BH Online
No comments:
Post a Comment