KUALA LUMPUR: Reformasi perlu diwujudkan dalam PKR, kata bekas naib presiden PKR N. Surendran, mengulas mengenai prestasi parti itu dalam mencapai setahun Malaysia Baharu.
“PKR adalah parti berasaskan agenda reformasi, namun ia juga memerlukan reformasi sendiri khusus kerana parti itu dijangkiti masalah berpuak, nepotisme, kronisme. Semua itu perlu diubah dalam parti tersebut,” kata Surendran.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual program “Let’s Talk with Sharaad Kuttan” sempena setahun Malaysia baharu di Astro AWANI pada Khamis.
Bagaimanapun, menurut Surendran, sepanjang pengalamannya menjadi sebahagian daripada parti tersebut, dia mengakui semua ahli PKR sedar dengan perkara tersebut.
“Banyak usaha telah diperuntukkan untuk mengatasi isu berkenaan. Namun, ia masih wujud dan ia berhubung dengan prinsip asas PKR, iaitu sama ada ia masih berasaskan reformasi atau perkara lain,” katanya.
Tambahnya, isu berpuak-puak timbul akibat kepimpinan yang lemah.
Pada masa sama, katanya, kepentingan orang yang terlibat dalam puak-puak tersebut tidak lagi bertumpu kepada memperjuangkan prinsip ‘rule of law’ dan kebebasan individu.
“Sebaliknya, ia tertumpu kepada perkara lain, sekali gus mendalamkan lagi isu berpuak-puak dalam parti.”

No comments:
Post a Comment