
LONDON: Kepa Arrizabalaga layak dilabel wira Chelsea apabila penjaga gol Sepanyol itu menyelamatkan dua sepakan penalti ketika Blues menyingkirkan Eintracht Frankfurt 4-3 menerusi penentuan penalti dan mara ke final Liga Europa, awal pagi tadi.
Kemenangan pada aksi separuh akhir kedua di Stamford Bridge itu menyaksikan skuad kendalian Maurizio Sarri akan bertemu seteru tetangga London, Arsenal di pentas final di Baku pada 29 Mei ini.
Buat pertama kali dalam sejarah kejohanan Eropah itu, keempat-empat pasukan yang beraksi di pentas final Liga Europa dan Liga Juara-Juara adalah pasukan dari England selepas Tottenham dan Liverpool turut mara ke pentas akhir pada aksi lebih awal.
Selepas mendahului permainan menerusi jaringan Ruben Loftus-Cheek, wakil Jerman Frankfurt kembali menyamakan kedudukan menerusi Luka Jovic selepas rehat dan perlawanan kekal 1-1 sehingga masa tambahan yang mengheret aksi ke penentuan penalti selepas kedudukan agregat terikat 2-2.

Sekali pun penalti Cesar Azpilicueta diselamatkan oleh Kevin Trapp, Kepa membuktikan kemampuannya dengan menghalang sepakan Martin Hinteregger sebelum mengecewakan Goncalo Paciencia dengan Eden Hazard melengkapkan kejayaan tuan rumah.
Ia jelas tempoh yang melegakan buat Kepa selepas dia dikritik teruk susulan sikap yang ditampilkan olehnya ketika final Piala Liga menentang Manchester City apabila enggan digantikan sebelum mereka tewas menerusi penentuan penalti.
Hazard juga lega dengan sumbangan yang diberikan kepada pasukan pada perlawanan yang mungkin menjadi aksi terakhirnya di Stamford Bridge selepas kuat dikaitkan dengan spekulasi perpindahan ke Real Madrid.
“Saya hanya berfikir untuk memenangi sesuatu bagi kelab ini,” kata Hazard ketika ditanya adalah aksi final akan menjadi perlawanan untuk Chelsea.
“Jika ia adalah perlawanan terakhir saya akan melakukan apa saja. Dalam fikiran saya, saya masih belum tahu.”
Selepas mengesahkan tempat ke final Liga Juara-Juara menerusi tiket Liga Perdana minggu lalu, menjulang trofi Liga Europa pasti membawa kegembiraan buat Sarri yang menempuh kempen penuh bermasalah pada musim pertamanya bersama Blues.
Bekas pengurus Napoli itu menegaskan pasukannya ‘layak’ untuk memenangi trofi musim ini dan pengendali dari Itali itu hanya selangkah lagi untuk melakukannya. - AFP
No comments:
Post a Comment