JBALB dapat petunjuk dan kenalpasti suspek sebalik krisis air Kabong



KABONG: Susulan daripada tersiarnya laporan dengan tajuk ‘Dicengkam Krisis Air, Penduduk Jadi Katak’, semalam satu dialog khas tentang bekalan
air di Daerah Kabong diadakan oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bertempat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kabong pukul 10 pagi.

Sesi dialog berkenaan dihadiri ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir, Pegawai Daerah Kabong, Haji Mohd. Rashdan Haji Hazemi, Jurutera JBALB Betong, Tay Chiaw Teck, Awang Fadhillah dari Ibu pejabat JBALB Kuching serta ketua-ketua kampung sekitar daerah itu.

Tidak terkecuali Ketua Kampung (KK) Kampung Sungai Endot, Haji Ismail Bujang, KK Kampung Sungai Endot Lot, Mohammad Man dan Pegawai Seranta Kampung Sungai Endot, Haji Olen Tabor.

Dalam dialog yang memakan masa hampir tiga jam itu banyak perkara dan usul diperdebatkan di antara pihak JBALB , penduduk dan wakil rakyat yang hadir berkaitan dengan krisis air yang berlaku di Kampung Sungai Endot dan Kampung Sungai Lot.

Wakil JBALB Tay Chiaw Teck yang juga merupakan Jurutera JBALB Betong menjadi fokus utama yang hadir ketika menyingkap tirai dialog apabila tampil dengan mempersembahkan ‘penemuan baharu’ yang juga disifatkan mereka sebagai ‘petunjuk baharu’ kepada punca berlakunya krisis air yang berlaku sekarang ini di Kabong.

Tay Chiaw Teck memberitahu petunjuk baharu yang dimaksudkan atau boleh diandaikan sebagai ‘suspek’ utama atau ‘dalang’ dalam masalah air yang mereka berjaya kenal pasti adalah ‘enjin pam air’ yang digunakan penduduk di sini.

Enjin pam air yang diguna penduduk dilabel sebagai ‘tersangka utama’ atau ‘yang kena tuduh’ yang menyumbang kepada teruknya mutu perkhidmatan bekalan air di Kabong.

“Pihak kami (JBALB) dapati penggunaan enjin pam menjadi punca kepada masalah air yang berlaku di Kabong. Penduduk semua guna enjin pam air untuk menarik air ke rumah, jadi tekanan air jadi sangat rendah.

“Selain itu cara pemasangan enjin pam air yang salah dikenalpasti sebagai punca paip utama hilang tekanan apabila isinya kena sedut dan air tidak dapat sampai ke penempatan penduduk di kawasan jauh di hujung kampuung. (Tay turut menunjukkan gambar pelan pemasangan pam air yang betul iaitu mesin tersebut mesti di pasang selepas tangki dan bukan sebelum tangki).

“Alat inilah yang menyebabkan masalah air di Kabong jadi teruk. Lantaran itu kita harap penduduk tidak mempraktikkan penggunaan enjin pam air atau dengan kata lain berhenti guna enjin pam air bagi menyelesaikan masalah air daripada berterusan, “ujarnya.

Bagaimanaun kenyataan ‘meragukan’ itu lantas dibidas oleh ADUN Kabong, Chee Kadir yang kurang senang dengan pendapat yang dilihat lebih kepada ‘helah bela diri’ JBALB itu. Kenyataan itu kata Chee agak bercanggah dengan keadaan semasa ketika mana penduduk sangat perlukan air.

Lantaran itu, Chee yang juga merupakan seorang peguam berpengalaman lantas mengeluarkan hujah pembelaan untuk ‘suspek’ (enjin pam air ) yang sekali gus mewakili penduduk kampung dengan memberitahu ‘tuduhan’ yang dikenakan terhadap enjin pam adalah sebagai satu tuduhan rambang yang kurang berasas kurang dapat diterima.

“Jika air memang ada penduduk tidak akan guna enjin pam air sebagaimana pada ketika bekalan air elok 10 atau 20 tahun lalu. Pada masa itu hanya guna loji kecil di Kabong saja. Mana ada penduduk perlu beli enjin pam air.

“Sekarang dah ada loji yang bagus di Lichok Roban masalah tekanan air rendah timbul dan air tidak ada jika tak guna enjin pam air.

Satu-satunya cara mengatasinya penduduk ‘terpaksa’ guna enjin pam. Jadi jika JBALB suruh saya beritahu penduduk jangan guna atau diharamkan guna enjin pam air saya tak dapat nak buat kenyataan itu.Sangat susah bagi saya nak bagi tau penduduk. Harap JBALB cari kaedah lain sajalah, ” ujarnya.

Tay berbincang sesuatu dengan Chee Kadir

Akur dengan bantahan itu JBALB bangkit dengan ‘formasi’ dan ‘formula’ kedua iaitu idea untuk memasang satu saluran paip khas dari tangki penyimpanan di loji lama Kabong terus ke Kampung Sungai Endot.

Menurut mereka dengan pemasangan saluran paip baharu maka air boleh dihantar terus ke kawasan Sungai Endot. Itu pelan terdesak dan juga eksperimen atas kertas JBALB yang belum ada jaminan besar bahawa projek bayangan itu boleh membawa kejayaan besar dalam misi JBALB kali ini.

Dipendekkan cerita, sebagai langkah memulakan eksperimen itu, JBALB telah mengeluarkan tender bagi tujuan itu dan kontrakor juga sudah dikenal pasti.

Kerja-kerja pembinaan akan terus dilaksana dan dijanjikan akan siap dalam tempoh sebulan.

Pada mulanya idea itu kurang disenangi yang hadir termasuk oleh ADUN Kabong sendiri yang menganggapnya sebagai kerja ‘buang duit’ selepas projek pintasan paip RM6.5 juta yang dibuat di Roban tahun lalu gagal membawa impak bagi pemulihan bekalan air di sini.

Namun sebagai menghormati dan memberi peluang kepada pihak JBALB membuktikan idea itu betul dan ‘boleh pakai’ maka ‘projek kilat’ itu terpaksa disokong untuk dilaksana dengan harapan saluran paip yang dibina akan benar mengeluarkan air dan bukannya keluar ‘angin kosong’ selepas siap pemasangannya.-SarawakVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...