Dicengkam krisis air, penduduk jadi katak



KABONG: “Akibat cengkaman tiada air, kami dah macam katak, selalu saja tunggu hujan ! ”

Itu luahan rasa wakil penduduk Kampung Sungai Endot Kabong, Haji Olen Tabor, 61, yang meluah rasa terkilannya apabila masalah air di kawasan itu terus tidak dapat diatasi dengan cara terbaik oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Sampai bila kami terus nak jadi macam katak tertunggu-tunggu dengan hujan bagi membantu kami mengisi ‘perut’ tong yang kosong.

“Apabila “perut tong’ kosong, kami mula dilanda masalah. Sekarang ini musim panas jarang hujan turun. Batang paip ada tapi tak dapat diharap, lebih banyak angin daripada ada air. Dengan kata lain paip kami kering !, ” katanya agak agresif membuka bicara.

Menurut Haji Olen, mereka di situ sekarang ini sangat berharap agar ada hujan turun dalam masa terdekat.

“Kami di Kampung Sungai Endot dan kampung lain yang menghadapi masalah sama amat teruja apabila terdengar bunyi guruh ataupun apabila nampak terbentuknya kepulan awan gelap dengan harapan itu petanda hujan akan turun.

“Dan apabila hujan turun kami memang macam katak…. bertempik gembira kerana buat seketika kami ada sumber air untuk mengisi tong dan bekas lain di rumah bagi kegunaan seharian.

“Dalam situasi yang lain pula ketika orang lain teruja menunggu bedok berbuka kami pula siap sedia tercongok-congok menunggu kehadiran lori air yang bawa air untuk kami, ” ujarnya.

Haji Olen Tabor memberitahu setakat ini langkah yang diambil pihak JBALB adalah pihak berkenan akan menyalur air dari loji dalam tempoh tiga ke empat hari sekali ke kampung itu. Dan setiap kali operasi melepas air ke kawasan kampung itu jumlah air yang diterima juga hanya sedikit iaitu setiap penduduk hanya berjaya mendapat sekitar suku ataupun setengah Tong Biru 1Malaysia bila ada operasi melepas air dilakukan.

Proses yang berlaku berselang 3 hari sekali itu dikatakan melibatkan penutupan 16 cabang paip ke kawasan lain bagi membolehkan ada air untuk dilepaskan ke kawasan Sungai Endot.

“Biasanya kerja melepaskan air ini mereka lakukan bermula jam 9 malam dan tamat kira-kira jam
11 ataupun 12 tengah malam namun dan ada ketikanya berhenti lebih awal.

“Pada sebelah siangnya masing-masing penduduk akan bertanya sesama sendiri : ” Berapa banyak dapat semalam ?”

“Yang sedihnya ada jawapan yang diterima berbunyi: “Huh…tak sempat baru air nak sampai operasi dah berhenti. Ada dalam 2 baldi dapat !

“Bukannya dapat duit tapi berapa banyak air yang dapat ditakung !

“Untuk tiga hari selang menunggu operasi melepas air dilakukan semula penduduk terpaksa bergantung harap kepada penghantaran air dengan lori. Biasanya proses penghantaran dilakukan dalam 4 ke 5 trip sehari. Air diambil dari Roban.

“Tangki yang diguna bocor jadi jumlah air yang sampai ke tempat penduduk hanya sikit dan penduduk rugi. Yang untung kontraktor terlibat.Mereka kira trip bukan kira jumlah air yang dibawa.

“Lori dari Betong kemudian ambil air di Roban. Jam 10 pagi biasanya baru operasi penghantaran air ke Kabong bermula.

“Penghantarannya tidak dapat memenuhi keperluan penduduk meskipun operasi berlangsung hingga jam 11 malam.

“Bagi yang berkeluarga besar dan mempunyai anak kecil mereka akan berdepan masalah lebih teruk kerana mereka memerlukan air yang lebih banyak, ” kata Olen.

Menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi penduduk dari bandar dan luar kawasan akan pulang beramai-ramai bagi menyambut lebaran di kampung. Pada ketika ini masalah bekalan akan jadi lebih meruncing.

” Harapan kami percepatkan pemulihan bekalan air di kampung kami. Itu saja rayuan kami, tidak kurang, tidak lebih… Kami mahu bekalan air yang tidak bermasalah sebagaimana yang dinikmati penduduk kawasan lain, ” ujarnya menutup perbualan.


Haji Olen Tabor, 61.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...