Bomoh halau hantu didakwa menipu



PETRA JAYA: Seorang wanita warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai bomoh menghalau hantu untuk menipu seorang wanita tempatan di Bandar Baru MJC Batu Kawa, bulan lalu.

Li Yufen, 34, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muzaffar Syah Ibrahim, di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Zubaidah kemudian menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Beliau turut mengarahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Puncak Borneo dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata tertuduh didakwa mengarahkan mangsa berusia 55 tahun menyerahkan wang tunai dan barang kemas berjumlah RM180,000 kononnya untuk upacara menghalau hantu di kediaman mangsa, 11 April lalu.

Bagaimanapun, mangsa yang mengesyaki diperdaya kemudian membuat laporan polis sebelum tertuduh berjaya ditahan di Miri oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, 21 April lalu.

“Dia disyaki bergerak merata tempat di Sarawak untuk memperdayakan mangsa, dan akan didakwa atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Sibu serta satu kes lagi mengikut seksyen sama di Miri,” katanya ketika dihubungi.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...