Adakah City bakal dinobat juara minggu ini?




KOLUM APA KATA EPL

INI adalah minggu paling mendebarkan untuk lapan pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kenapa saya anggap mendebarkan? Ini kerana dengan aksi liga hanya berbaki dua lagi, masih ada tiga 'persoalan besar' belum terjawab sehingga kini.

Pertamanya. Kejuaraan liga belum ada pemenangnya. Perebutan antara Manchester City selaku penyandang juara dan Liverpool masih belum berakhir selepas 36 aksi. Hanya satu mata memisahkan City dan The Reds. Jelas sengit.

Keduanya, dua slot terakhir ke Liga Juara-Juara juga belum dapat disahkan pemiliknya yang membabitkan empat pasukan iaitu Tottenham Hotspur, Chelsea, Arsenal dan Manchester United. Selepas 36 aksi, kelihatannya Spurs dan The Blues memiliki kelebihan.

Ketiga, satu lagi tempat untuk terus kekal dalam EPL masih jadi perebutan antara dua pasukan iaitu Brighton dan Cardiff City.

Melihat kepada perebutan kejuaraan liga, empat pasukan kini jadi penentu. Leicester City dan Brighton bakal berdepan City manakala Newcastle United dan Wolves menghadapi Liverpool.

Adakah minggu kedua terakhir ini mampu menobatkan kali kedua berturut-turut kejuaraan liga buat City? Jawapannya, boleh. Tapi dengan syarat City menang ke atas Leicester awal pagi Selasa ini waktu Malaysia manakala The Reds tumbang ditangan Newcastle United di St James Park. Malah, kalau seri sekali pun, City boleh juara kerana jumlah perbezaan gol andai The Reds kalah.

Persoalannya, mampukah The Magpies mengecewakan anak buah Jurgen Klopp awal pagi esok?

Seandainya kedua-dua pasukan menang atau City seri, kejuaraan hanya akan ditentukan 12 Mei ini.

Dengan Liverpool dimalukan Barcelona 3-0 aksi separuh akhir pertama Liga

Juara-Juara di Nou Camp, saya percaya The Reds akan bangkit. Kalau gagal, tiada apa yang boleh dikatakan lagi kecuali harus menunggu bagi tahun ke-30 untuk bergelar juara. Berdoalah penyokong Liverpool.

Sementara itu, Spurs hanya perlu memenangi aksi menentang Bournemouth malam ini untuk layak Liga Juara-Juara musim depan. Kalau seri, peluang kekal diposisi ketiga tetap ada.

Bagi Chelsea, mereka hanya perlu menjinakkan Watford malam ini dan minggu depan menentang Leicester City.

Arsenal dan United sebaliknya perlu masing-masing menang ke atas Brighton dan Burnley serta Huddersfield dan Cardiff.

Namun The Blues dan The Gunners memiliki `pintu kedua’ untuk layak iaitu menerusi kejuaraan Liga Europa. Kelmarin, Arsenal menjinakkan Valencia 3-1 aksi pertama separuh akhir manakala Chelsea terikat 1-1 dengan Eintracht di laman lawannya itu.

Aksi kedua pada minggu depan. Juara kejuaraan ini layak automatik ke Liga Juara-Juara musim depan.

Dalam pada itu, bagi slot terakhir kekal di EPL, Cardiff harus menang dua aksi terakhir menentang Palace dan United sambil berharap Brighton tercicir mata ketika bertemu Arsenal dan City. Bukankah ini satu tugas amat berat? Sudah tentulah.

Hanya keajaiban mampu menyelamatkan Brighton ketika mereka sedang mendahului Cardiff dengan empat mata.

Sementara itu, Norwich City dan Sheffield United kembali aksi EPL musim depan mengambil tempat Huddersfield dan Fulham yang tersingkir sebelum ini.

Norwich dan Sheffield adalah juara dan naib juara Liga Kejuaraan Inggeris. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini
Everton 1 -1 Burnley
Bournemouth 1- 1Tottenham
West Ham 1-1 Southampton
Wolves 3 -0Fulham
Cardiff 2 -1 C Palace
Newcastle 1-1 Liverpool
Chelsea 3-1 Watford
Huddersfield 1 -3Man United
Arsenal 1-1Brighton
Man City 2 -0 Leicester

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...