Rakyat Sarawak Mahu Sarawak Menjadi Sebuah Negeri Maju Mengikut Acuan Sendiri


KUCHING: Rakyat Sarawak mempunyai impian suatu hari nanti Sarawak akan menjadi sebuah negeri maju mengikut acuannya sendiri.

Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata sejak merdeka dalam Malaysia sejak 56 tahun lalu, rakyat Sarawak telah mempunyai aspirasi menjadi sebuah negeri di Malaysia.

"Rakyat Sarawak mempunyai impian, suatu hari nanti Sarawak adalah sebuah negara yang maju dengan rakyatnya mempunyai pendapatan yang tinggi dan sentiasa hidup aman dan damai sebagai rakyat Malaysia mengikut acuan Sarawak sendiri.

"Rakyat Sarawak mahu menggunakan kekayaan negeri ini dan sumber tenaga manusianya untuk memajukan negeri ini dari segi sosioekonomi.

"Pada masa ini, Sarawak berusaha dengan gigih untuk membina kemudahan infrastruktur digital, kemudahan asas dan utiliti supaya rakyat jelata khususnya rakyat di luar bandar dapat hidup dengan suasana yang lebih selesa," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Santapan Malam bersempena lawatan kerja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini. 

Terdahulu, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari mengalu-alukan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong ke Sarawak pada hari ini dan esok.

"Saya mewakili seluruh rakyat Sarawak mengucapkan selamat datang Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong ke Sarawak. Terima kasih kerana memilih Sarawak sebagai destinasi pertama yang dilawati selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke 16 baru-baru ini," katanya. 

Terdahulu, baginda berdua berkenan mengadakan sesi fotografi kenangan bersama Tuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib serta barisan Menteri Kabinet Sarawak yang diketuai Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
Seterusnya baginda berdua menerima sembah cendera kenangan berupa kain songket asli Sarawak dan rantai manik dan batuan berasal dari kaum Orang Ulu yang dipersembahkan kepada baginda sebelum menghadiri Majlis Santapan Malam di sebuah hotel di sini.
Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong telah dipersembahkan beberapa nyanyian irama perlahan dan tarian kebudayaan masyarakat Sarawak dari artis-arti Kampung Budaya Sarawak dengan mempertontonkan Muzikal Puteri Santubong yang ternyata menarik minat baginda dan Permasirui Agong. 

Sebelum meninggalkan majlis, baginda berdua telah berkenan beramah mesra dan bergambar bersama penari-penari yang mengadakan persembahan Muzikal Puteri Santubong.

Selepas itu, Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong yang diringi Tuan Yang Terutama DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, dan Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan dan isteri YABDatin Patinggi Datuk Amar Hajah Juma'ani Tun Tuanku Bujang ke Tebingan Kuching bagi menyaksikan persembahan air pancut berirama Darul Hana atau Darul Hana Musical Fountain.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak YB Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri Datin Fatimah IskandarSetiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Datuk Mansor Man, bekas TYT Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Bareng dan isteri Toh Puan Norkiah, Menteri-menteri Kabinet Sarawak, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Masyarakat






No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...