Kebakaran di Kuala Baram cecah 100 hektar

MIRI: Kebakaran hutan tanah gambut dan ladang kelapa sawit di Kuala Baram yang bersempadan dengan negara Brunei, dekat sini, mencecah sehingga 100 hektar dengan api masih sukar dikawal kerana faktor angin yang kuat dan masalah air. 
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I, Law Poh Kiong berkata pasukan bomba dan penyelamat yang bertugas memadam kebakaran di kawasan berkenaan, terpaksa keluar dari kawasan kebakaran pada pukul 2 petang, kerana bimbang terperangkap dalam api yang makin marak. 
"Angin kencang di kawasan ini telah menyebabkan api marak dengan pantas dan menyukarkan usaha-usaha memadam kebakaran, di tambah dengan masalah air, kerana kawasan terbakar agak jauh dari punca air. 
"Pada pukul 2 petang tadi, kita terpaksa mengarahkan pasukan keluar dari kawasan kebakaran kerana bimbang akan terperangkap dalam api yang semakin teruk," katanya. 

Petang tadi juga, JBPM Zon 6 Miri turut mendapat khidmat daripada Pasukan Unit Udara Bomba dari Sabah untuk membantu memadamkan kebakaran menggunakan kaedah 'water bombing'. 
Menurut Law, apa di kawasan itu mulai dikesan oleh pasukannya semasa mengadakan rondaan jam 10 pagi semalam dengan kerja-kerja pemadaman dilakukan sekitar jam 1.57 petang. 
Pasukannya yang terdiri daripada 14 anggota itu terpaksa memadamkan api secara relay pumping sejauh 700 kaki dari tali air yang berdekatan menggunakan pam angkut kerana kawasan tersebut tiada akses untuk pemadaman selain tiada air. 
Operasi pemadaman turut dibantu oleh syarikat ladang tersebut menggunakan tiga pam angkut. 
Kebakaran ladang, belukar dan tanah gambut itu yang bermula di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram, merebak agak meluas sehingga ke kawasan Curtin Universiti, meliputi kawasan 70 hektar pada jam 5 petang semalam, menyebabkan kawasan utara bandar raya ini diselubungi awan hitam akibat asap tebal itu. 
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian dalam kenyataannya sebentar tadi, turut menyokong cadangan oleh Law sebelum ini, agar kerajaan melakukan pembenihan awan di Miri, jika keadaan cuaca kering ini berterusan. 
Katanya, walaupun hujan turun lebat semalam namun ia berlaku di beberapa kawasan sahaja dan tidak menyeluruh serta tidak meninggalkan sebarang kesan di kawasan kebakaran hutan. 
"Oleh itu, saya mengesyorkan sekali lagi supaya pihak berkuasa yang berkaitan dapat menjalankan pembenihan awan, kerana ia dirasakan amat diperlukan ketika ini, bagi mengimbangi iklim panas yang berlaku, di samping mengurangkan jerebu daripada kebakaran hutan yang semakin menjadi kerana cuaca panas dan angin kencang," tambahnya.-UtusanBorneo







No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...