Istilah status setara tidak disebut dalam RUU





KUCHING: Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri JC Fong menegaskan bahawa istilah ‘status setara’ tidak disebut dalam Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan untuk menggambarkan gesaan  rundingan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, istilah itu penting untuk memberi kepastian peruntukan yang dipinda supaya undang-undang tertinggi mengenai perkara itu dapat ditafsirkan dengan mudah oleh mana-mana mahkamah undang-undang.

“Istilah ‘status setara’ mesti disebut dalam Perlembagaan Persekutuan kerana mahkamah undang-undang tidak mempunyai kuasa untuk menambah sebarang perkataan kepada undang-undang (yang ada) atau perkara Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu ‘status setara’ mesti dinyatakan secara nyata dalam Perkara 1 (2),” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kompleks Dewan Unda-ngan Negeri (DUN) di Petra Jaya di sini semalam.

Fong mendapati ia mengelirukan apabila ahli politik  membahaskan rang undang-undang itu tanpa melihat keperluan untuk menambah dalam rang undang-undang, istilah ‘status setara’ yang mana adalah penting.

Beliau juga mempersoalkan mengapa sukar untuk meletakkan istilah dalam rang undang-undang untuk meminda Perkara 1 (2) yang bertujuan memulihkan status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah sama dengan Tanah Melayu.

Jika istilah ‘setara’ muncul dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan apabila merujuk kepada dua Mahkamah Tinggi – iaitu Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Fong berkata, beliau tidak dapat melihat sebab mengapa istilah itu tidak boleh muncul di mana-mana dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditanya sama ada ahli politik menafikan istilah ini secara sengaja atas alasan yang diketahui sendiri, Fong berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

“Sebagai contoh, Perkara 121 dengan jelas menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo (sekarang Sabah dan Sarawak) adalah sama.

“Sekiranya kedua-dua Mahkamah Tinggi ini boleh dikatakan sama, tidak ada sebab mengapa kedua-dua wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu dan dua negeri Borneo tidak boleh mempunyai status yang sama juga dalam Perlembagaan,” katanya.

Oleh itu katanya, terdapat kelemahan yang jelas dalam pindaan yang dicadangkan tidak kira bagaimana ia diputarkan kerana tidak ada apa-apa pindaan yang dicadangkan seperti Perkara 121, yang  menyatakan dengan jelas bahawa Sabah dan Sarawak adalah status setara dengan Semenanjung Malaysia atau Tanah Melayu.

Fong berkata, dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang tidak ada pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Adalah penting bagi MA63 diiktiraf oleh undang-undang tertinggi supaya perbincangan untuk memulihkan atau menuntut semula hak-hak Sabah dan Sarawak boleh dijalankan di bawah satu dokumen Perlembagaan Persekutuan yang diiktiraf.

“Dengan ini, kedudukan Sabah dan Sarawak akan diperkukuhkan sekiranya perbincangan diadakan menggunakan dokumen yang di-sokong oleh perlembagaan yang merupakan MA63,” tegasnya.

Fong dalam pada itu berharap semua rakyat Sarawak mempertimbangkan pindaan yang dicadangkan secara rasional demi kebaikan generasi sekarang dan generasi akan datang.

Fong turut berpendapat ada baiknya jika RUU yang dipinda ini ditangguhkan ke tarikh yang lain supaya dapat lebih banyak perundingan dengan pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, mereka perlu mengkaji dengan teliti untuk memenuhi aspirasi rakyat dan aspirasi rakyat ini adalah bahawa Sabah dan Sarawak menjadi rakan setara dengan Tanah Melayu.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...