Bujang Oya kembali mengganas 



MUKAH: Setelah lebih dua tahun menyepi, ‘Bujang Oya’ kembali mengganas dan kali ini mangsanya seorang warga emas berumur 72 tahun dari Kampung Bakong, Oya.


Mayat mangsa dikenali sebagai Seruji Salleh didapati putus kaki kanan ketika ditemui orang ramai selepas pencarian dilancarkan susulan kehilangannya ketika mandi di sungai di hadapan rumahnya sekitar 12.30 tengah hari kelmarin.


Ketua Polis Daerah Dalat DSP Roslan Leman berkata, mayat mangsa dijumpai penduduk kampung yang melakukan pencarian menggunakan perahu sekitar jam 7.05 malam hari sama.


“Mayat tidak lengkap anggota badan semasa dijumpai, kaki sebelah kanan telah hilang,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.


Lokasi mayat ditemui adalah di sungai di hadapan Kampung Terus, Oya.


Pada 2016, seorang warga emas dari kampung sama, Sili Ismail @ Semail, 60, juga maut selepas dibaham buaya ketika keluar menangkap udang di sungai itu.


Sejurus insiden itu, pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) mula memburu buaya di sungai berkenaan dengan kaedah penakaian.


Pemburuan dikatakan berhasil apabila seekor buaya jantan seberat 200 kilogram sepanjang 2.8 meter ditangkap dalam satu operasi oleh pihak SFC pada ketika itu.


Namun, penduduk sekitar masih percaya dalang sebenar iaitu ‘Bujang Oya’ masih lagi berkeliaran dan bebas di Batang Oya sehingga ke hari ini.


Pada 2015, serangan buaya di sungai sama turut dilaporkan.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...