Ahli perniagaan ditemui mati di pejabatnya




MATI MENGEJUT: Mayat mangsa dibawa menggunakan kenderaan polis ke HUS untuk tindakan selanjutnya.

KUCHING: Seorang ahli perniagaan ditemui mati di pejabatnya di Kota Sentosa di sini, semalam.

Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Tan, berusia 51 tahun, ditemui kakak dan seorang pekerjanya yang datang ke pejabat tersebut sekitar jam 11.30 pagi.

“Kakak mangsa bersama pekerjanya datang ke pejabat tersebut untuk mencari mangsa yang dikatakan tidak pulang ke rumahnya pada malam tersebut (Isnin).

“Apabila pekerjanya membuka pintu, dia terkejut apabila ternampak mangsa terbaring di tepi tangga ruang pejabatnya dan mereka terus menghubungi pihak hospital,” kata sumber.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa anggota paramedik.

Difahamkan, pintu pejabat mangsa hanya satu dan cuma dapat dibuka mengunakan sistem kad kunci.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat dan siasatan lanjut polis masih dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat yang dijadual diadakan pada hari ini jam 9 pagi.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...