UNIMAS sambut baik inisiatif Foodbank Malaysia



Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohamad Gazali Abas (empat dari kanan) bersama Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menyampaikan anugerah cemerlang kepada salah seorang kakitangan di Majlis Anugerah Gemilang Unimas (MAGU) di dewan DeTAR Putra, Kota Samarahan. - Foto BH

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyambut baik inisiatif memperluaskan pelaksanaan Foodbank Malaysia ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini bertujuan menyalurkan bantuan makanan kepada golongan siswa memerlukan.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, berkata usaha itu amat bersesuaian bagi membantu pelajar dari kumpulan B40 dan miskin tegar.

“Ia bantuan yang amat bersesuaian, terutama menjelang musim peperiksaan supaya pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam persediaan mereka.

“Bantuan disalurkan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR) UNIMAS, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan eksklusif BH mengenai isu golongan siswa yang terpaksa mengikat perut disebabkan tekanan hidup dan beban kewangan.

Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohamad Gazali Abas yang turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) kepada 187 kakitangan universiti berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Kadim berkata universiti itu sendiri sudah lama melaksanakan program makanan percuma bagi membantu pelajarnya yang kurang berkemampuan.

“Di UNIMAS, kita sentiasa menyediakan makanan percuma kepada pelajar yang memerlukan, cuma inisiatif itu tidak diuar-uarkan sebelum ini kerana ia dilaksanakan atas dasar tanggungjawab sosial. Bungkusan makanan itu adalah sumbangan pihak tertentu dan orang ramai.

“Ramai pihak yang tampil memberi sumbangan makanan kepada kita, malah boleh dikatakan cukup untuk menampung keperluan pelajar memerlukan,” katanya.

Sementara itu, UNIMAS turut melihat keperluan beberapa sekolah pedalaman dan luar bandar di Sarawak seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Balingian bagi mengatasi isu bekalan air.

“Kita sudah mencadangkan penyelesaian untuk tindakan kepada kerajaan, malah langkah segera yang diambil ialah dengan menyediakan tong air untuk tadahan sebagai langkah sementara. Untuk jangka masa panjang, kita mencadangkan pembinaan loji rawatan air dari sungai berdekatan dan selamat digunakan dengan kos dianggarkan RM 500,000.

“UNIMAS turut menyertai lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ke sekolah daif di Bahagian Miri dan Limbang bagi melihat keadaan sebenar. Ini adalah lanjutan pada lawatan pertama yang dilakukan bulan September tahun lalu.

“Lawatan tiga hari ini akan menjadi platform kepada kita untuk mengetengahkan keperluan sekolah luar bandar dan kementerian dapat mengambil tindakan untuk mengatasinya,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...