Tunaikan janji kembalikan status Sarawak kepada asal

SEMPENA sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada 16 September tahun lalu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan mengembalikan status ‘rakan sekutu’ kepada Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, jelas Tun Dr Mahathir Mohamad lagi, perkara itu akan diperhalusi sebaik sahaja kajian semula mengenai Perjanjian Malaysia (MA1963) diselesaikan sepenuhnya.
Usaha mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 dijangka menjadi tumpuan utama persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14, bermula hari ini.
Ini susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Jumaat lalu, bahawa kerajaan pada mesyuarat Kabinet Rabu minggu lepas bersetuju meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan berkenaan.
MA63 yang membawa kepada penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963, mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang mempunyai hak sama rata dengan Malaya.

Sebelum tahun 1976, Perkara 1 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sabah dan Sarawak masing-masing sebagai sebuah wilayah, sama kedudukannya dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Namun, pada 1976, pindaan Perlembagaan telah dibuat sehingga menyebabkan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah diturunkan menjadi negeri.
Semasa dibentangkan pada 1976, hanya empat Ahli Parlimen – tiga dari DAP dan satu dari Pekemas menentang pindaan tersebut, iaitu Lim Kit Siang, Dr Tan Chee Khoon, Farn Seong Than dan Lee Lam Thye. Seramai 130 lagi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat  menyokong penuh agar pindaan ini diluluskan dengan jayanya.
Berdasarkan hansard, didapati tidak ada rekod Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah yang menentang usul ini. Pindaan  tersebut adalah antara 48 pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan pada 13 Julai 1976.
Perdana Menteri Datuk Hussein Onn ketika berucap bermula jam 3.40 petang 12 Julai 1976, menafikan tuduhan pembangkang bahawa pindaan Perlembagaan berkenaan tidak dibuat terburu-buru.
Usaha itu, menurut beliau telah mengambil masa tidak kurang daripada dua tahun. Maksudnya, semua pihak terbabit tahu akan maksud dan implikasi pindaan berkenaan.
“Perlembagaan digunakan setiap hari oleh empat belas Kerajaan – tiga belas negeri dan dan Kerajaan Pusat.
Apabila peruntukan tertentu berdasarkan pengaman tidak lagi memuaskan atau tidak lagi sesuai bagi keadaan semasa, adakah peruntukan itu perlu dianggap keramat dan tidak boleh diubah atau patutkah ia dipinda supaya selari dengan keperluan dan pemikiran semasa,” jelas Hussein.
Pindaan berkenaan mengikut Hussein adalah berkaitan Fasal 1 (2), iaitu “menyusun semula nama-nama negeri yang di dalam Persekutuan ini. Dan Artikel 3 (3) berkenaan dengan Ketua Agama Islam yang saya fikir mengenai Sabah dan Sarawak.”
Ahli Parlimen Mukah, Latip Haji Dris dalam perbahasannya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan dengan adanya pindaan berkenaan.
“Ini adalah satu kehormatan kepada kami di Sarawak, di bawah perlindungan satu Raja, satu bangsa dan juga satu negara.
Oleh itu saya berpendapat Perlembagaan negara kita tidak seharusnya dibeku begitu sahaja melainkan dipinda mengikut keadaan zaman dan masa bagi menyesuaikan kehendak untuk kebaikan dan faedah rakyat dan negara seluruhnya,” katanya.
Fasal 42 dan fasal 43 dalam Perlembagaan itu, berkaitan dengan penggunaan perkataan ‘’Gabenor” dan “Negeri-negeri Borneo” yang terdapat dalam Perlembagaan, maka dengan kelulusan rang undang-undang  itu menurut beliau, kedua-dua perkataan yang sangat penting dipinda dengan menggantikan perkataan-perkataan “Yang di-Pertua negeri” dan “Negeri-negeri Sabah dan Sarawak.
“Dalam hal ini memang tepat kedua perkataan  itu menggantikan perkataan yang terdapat di dalam Perlembagaan yang ada sekarang,” tambahnya.
“Bagi kami rakyat di negeri Sarawak sudah pasti berbangga di atas perkataan-perkataan “Yang di-Pertua Negeri Sarawak” daripada perkataan-perkataan “Negeri-negeri Sabah dan Sarawak” daripada perkataan “Negeri-negeri Borneo,” katanya.
Tambahnya, dengan perkataan yang begitu jelas bagi negeri Sabah dan Sarawak, rakyat berasa lapang dan menyedari tanggungjawab rakyat merdeka serta “dapat bekerja lebih rapat lagi dengan saudara-saudara di negeri-negeri lain di dalam Malaysia…”
Dalam ucapannya  berkaitan pindaan itu pada 6.46 petang, 13 Julai, Perdana Menteri berkata: “Saya telah menerangkan iaitu pindaan-pindaan yang dikemukakan ini telah dikaji dengan mendalam bukan sahaja oleh satu badan, bahkan badan-badan lain seperti badan-badan pegawai, badan kementerian, iaitu peringkat Kementerian di antara Kerajaan Persekutuan dengan wakil-wakil daripada negeri Sabah dan Sarawak dan juga oleh Jawatankuasa Kabinet. Jadi pindaan ini telah ditapis dan difikirkan dengan sedalam-dalamnya barulah dikemukakan pindaan ini ke Dewan.”
Apakah makna kembalinya status Sabah dan Sarawak kepada kedudukan asal, seperti sebelum pindaan pada 1976 itu?
Yang jelas, selepas 43 tahun,  Sabah dan Sarawak akan mendapat kembali status seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 4 Perjanjian Malaysia 1963.
Pindaan ini juga membawa implikasi betapa perlunya penilaian semula terhadap beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini.
Pastinya keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah dan kawasan yang mundur dengan kelengkapan yang amat daif
Desentralisasi kuasa daripada kerajaan pusat kepada Sabah dan Sarawak perlu segera dilaksanakan susulan pindaan itu nanti.
Sistem pentadbiran fiskal negara perlu disentralisasikan secara berperingkat agar akhirnya sehingga 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di Sabah dan Sarawak akan dibelanjakan di Sabah dan Sarawak itu sendiri.
Sesungguhnya,  mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak akan membuatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata.
Selain itu,  keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak  akan lebih terjamin dan diberi perhatian.
Langkah ini akan juga memperkasa konsep federalisme untuk ketiga-tiga wilayah dalam Malaysia;  Sabah dan Sarawak mendapat hasil semula jadi negara serta hasil minyak dan gas. Selain itu, perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri; serta Sabah dan Sarawak akan mendapat jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi haknya.
Pindaan itu memerlukan sokongan  dua per tiga majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Ketika ini PH mempunyai 135 ahli Parlimen termasuk sembilan daripada Warisan dan seorang daripada Upko. Untuk mendapatkan sokongan dua per tiga bermaksud memerlukan sokongan 148 ahli Parlimen.
Saya percaya semua Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak, termasuk 18 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberi sokongan sepenuhnya untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai dua wilayah berasingan dengan Semenanjung.
“Marilah kita semua menjadi sebahagian daripada sejarah ini dan bersama-sama kita berusaha ke arah harapan baru dan Malaysia yang lebih baik,” kata Liew Disember lalu.
Semua rakyat Malaysia  perlu terus bersatu dalam meminda Perkara 1 (2) dan membetulkan ketidakadilan yang dialami Sabah dan Sarawak sejak 43 tahun lalu.
Ya, aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak untuk berdiri sama tinggi dengan Semenanjung diharap dapat dipenuhi dengan pindaan ini.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...