Taman Agro Nipah perkukuh industri gula apong



ADUN Beting Maro, Razali Gapor (kanan) melawat tapak untuk dijadikan Taman Agro Nipah di Kampung Tambak, Pusa. - NSTP

KUCHING: Industri gula nipah atau gula apong dalam bahasa tempatan Sarawak diperkukuhkan dengan pembukaan Taman Agro Nipah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, Betong.

Taman Agro Nipah seluas 4.047 hektar itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan bagi meningkatkan pengeluaran nira nipah yang menjadi bahan asas penghasilan gula berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razali Gapor, berkata sejumlah RM2 juta diperuntukkan kerajaan Sarawak bagi mewujudkan taman berkenaan.

“Taman Agro Nipah itu yang diwujudkan di Kampung Tambak, Pusa, akan menjadi pusat sehenti bagi industri gula apong.

“Antara kemudahan yang akan disediakan ialah kilang, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pusat pengumpulan serta pembungkusan produk gula apong,” katanya.

Razali berkata, pihaknya akan membawa teknologi baharu ke taman itu bagi memproses nira nipah menjadi gula apong secara mekanikal dan menggunakan gas atau elektrik bagi menggantikan kayu sebagai bahan bakar.

“Ini kerana isu utama yang sedang dihadapi industri itu ialah perlu menggunakan banyak kayu api sebagai bahan bakar untuk memproses nira pokok nipah menjadi gula apong, tetapi sekarang kita semakin sukar mendapat bekalan kayu api.

“Kampung Tambak di DUN Beting Maro adalah tempat paling sesuai diwujudkan taman itu kerana di Sarawak hanya di sana sahaja ada ladang dan hutan nipah yang keseluruhannya dianggarkan mencecah sekitar 40.469 hektar,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini 30 peratus kawasan ladang dan hutan nipah itu boleh dimasuki penduduk menggunakan kenderaan melalui jalan ladang bagi mendapatkan nira nipah manakala kawasan selebihnya hanya boleh dilalui menggunakan perahu.

“Kami akan memohon lebih banyak peruntukan dari kementerian berkaitan bagi menyediakan lebih banyak jalan untuk memasuki ladang dan hutan nipah supaya 100 peratus kawasan terbabit boleh dimasuki penduduk kampung.

“Setakat ini hanya Sarawak mempunyai kawasan ladang nipah bagi tujuan menghasilkan gula apong manakala ladang nipah di negeri lain hanya bagi menghasilkan nira,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...