Rakyat Malaysia cerita detik tembakan di Utrecht



Selasa, 19 March 2019 | 1:46am

KEJADIAN tembakan di dalam tram di Bandaraya Utrecht, Belanda.

KUALA LUMPUR: “Keadaan agak kecoh dengan bunyi siren polis dan ambulans selain bunyi helikopter lalu-lalang sekitar lokasi kejadian.

“Kami kemudian tidak dibenarkan keluar daripada bangunan sehingga kira-kira jam 5 petang sehinggalah keadaan disahkan selamat,” kata Roos Van Rossum, seorang rakyat Malaysia yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kes tembakan dalam tram yang berlaku di Bandaraya Utrecht, Belanda, semalam.

Menceritakan detik awal insiden itu, Roos berkata ketika kejadian dia berada dalam bangunan tempat suaminya bekerja yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat tembakan berlaku.

“Seorang rakan beritahu ada kejadian tembakan dan tidak lama kemudian kawasan ini hingar-bingar dengan siren polis.

“Kami kemudian diberitahu agar tidak meninggalkan kawasan bangunan dan orang ramai tidak dibenarkan berada di kawasan jalanan kerana bimbang berlaku serangan lain.

“Kami hanya dapat mengikuti perkembangan kejadian itu melalui siaran berita bahawa berlaku tembakan dalam sebuah tram dan penembaknya adalah seorang lelaki dan mangsanya adalah seorang wanita manakala dua lagi mangsa yang ditembak adalah mereka yang cuba menolong wanita itu,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Roos yang sudah tiga tahun menetap di Utrecht berkata, beliau dan suami hanya dapat keluar dari bangunan terbabit kira-kira jam 5 petang sedangkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.45 pagi.

“Kami masih terkejut dengan kejadian ini, namun pihak berkuasa di sini berjaya mengawal keadaan dengan baik dan cepat.

“Bagaimanapun paras ancaman masih berada di tahap tinggi dan kami dinasihatkan untuk tidak meninggalkan kediaman masing-masing kerana polis belum berjaya menangkap penembak terbabit,” katanya.

Menurutnya lagi, kejadian itu mungkin dilakukan pengganas namun beliau difahamkan kejadian itu juga mungkin bermotifkan peribadi.

“Ini kerana penembak itu pada mulanya hanya mensasarkan wanita terbabit, dan dua lagi mangsa turut ditembak kerana cuba menolong mangsa.

“Kami berharap penembak itu dapat ditangkap secepat mungkin dan mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya yang turut memaklumkan terdapat ramai pendatang asing mendiami kawasan kejiranan sekitar Utrecht.

Dalam insiden itu, tiga dilaporkan maut selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di dalam tram dan beberapa lokasi di bandar ini.

Susulan kejadian itu, polis Belanda menamakan suspek yang dikenali sebagai Gokman Tanis, 37, berketurunan Turki.

Gambar lelaki itu disiarkan polis melalui Twitter, dirakam melalui CCTV dalam tram terbabit beberapa minit sebelum dia melepaskan tembakan yang turut menyebabkan beberapa lagi cedera.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...