Pemandu BMW serah diri



KERETA BMW ditemui ditinggalkan di tepi Jalan Aiport, berhampiran Kuching Sentral. - Foto ihsan PDRM

KUCHING: Pemandu kereta BMW yang terbabit dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar surat khabar Jumaat lalu, menyerah diri, malam tadi.

Lelaki berusia 49 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik itu ditahan selepas tampil di Pusat Sehenti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada jam 7.15 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata sejurus ditahan pihaknya merakam percakapan lelaki itu dan kemudian membawanya ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk diambil spesimen darah bagi pemeriksaan alkohol dan dadah dalam darah.

“Hasil rakaman percakapan, lelaki itu mendakwa kereta BMW dipandunya ketika kejadian itu adalah milik rakannya.

“Dia mendakwa melarikan diri selepas kejadian itu kerana takut dan panik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan kini berjaya diselesaikan dengan penahanan lelaki itu.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi Jumaat lalu, penghantar surat khabar, Chong Kui Hin, 67, maut di tempat kejadian di Jalan Tun Jugah, di sini, akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.

Pemandu yang melanggar mangsa bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian itu, namun kereta berkenaan kemudian ditemui ditinggalkan di tepi Jalan Airport, berhampiran Kuching Sentral.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan mengesan pemandu kereta terbabit selepas semakan mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

Bagaimanapun, polis menghadapi kesukaran apabila siasatan lanjut mendapati syarikat terbabit didapati sudah tidak lagi beroperasi.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...