Kontraktor Bumiputera diingat tidak serahkan projek kepada pihak lain – Awang Tengah



SIBU: Para kontraktor Bumiputera Kelas C sehingga F di Sarawak diingatkan agar tidak menyerahkan 100 peratus projek yang dianugerahkan buat mereka kepada pihak lain.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata mereka sebaliknya perlu melibatkan diri secara langsung di dalam melaksanakan projek berkenaan.

Beliau berkata selain tidak beretika, amalan kontrak ‘Alibaba’ itu tidak akan membantu para kontraktor meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk mengendalikan projek-projek di masa hadapan dengan lebih cekap dan menguntungkan.

“Para kontraktor boleh bekerjasama dengan kontraktor bukan Bumiputera, namun mereka perlu terlibat secara langsung dan aktif dalam pengurusan projek sehingga projek itu siap mengikut jadual,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata demikian semasa merasmikan penutupan Simposium Usahawan Kontraktor Siri 6 Bahagian Sibu di sini hari ini
Awang Tengah berkata ketika ini terdapat 5,900 kontraktor Bumiputera di Sarawak yang terlibat di dalam bidang mekanikal, elektrikal, pembekalan dan perkhidmatan.

Katanya kerajaan negeri telah merangka usaha dan inisiatif yang efektif untuk membantu usahawan kontraktor Bumiputera yang terlibat secara aktif di dalam menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi.

Beliau berkata antaranya ialah peruntukan tidak kurang daripada RM648 juta setahun untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi semua 72 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan dana baik pulih rumah berjumlah RM9 juta, yang pastinya akan membuka peluang serta penglibatan usahawan kontraktor terbabit.

Simposium sehari itu disertai oleh 363 kontraktor Bumiputera dari Bahagian Sibu.– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...