Isu sempadan laut, Sarawak serah kepada Pusat



KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. - NSTP
KUCHING: Sarawak menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan itu sempadan perairan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia yang menyebabkan nelayan serta pemancing dari negeri ini sering didakwa menceroboh negara jiran.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata beliau tidak menerima maklumat lengkap berhubung isu itu termasuk penahanan dua bot Sarawak oleh pihak berkuasa Indonesia, Selasa dan Rabu lalu.

“Kes itu (penahanan bot Sarawak) ditangani oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), namun saya tiada butiran lanjut mengenainya.

“Apabila ia ditangani oleh Maritim Malaysia maka ia kini adalah urusan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan dua bot Sarawak oleh Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) di perairan Tanjung Datu, Sematan, pada Selasa dan Rabu lalu.

Semalam, Maritim Malaysia mengesahkan lokasi penahanan bot pancing dan bot bubu dari Sarawak oleh TNI-AL itu masih berada di dalam perairan Malaysia.

Penolong Pengarah Kanan, Unit CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Leftenan Komander Musli Jaffar, berkata ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi Rabu lalu, bot pancing bernombor pendaftaran QKH9393Z berada di kedudukan 53.2 batu nautika dari Tanjung Datu, Sematan.

Bot berkenaan yang membawa 11 pemancing dan tiga kru itu kemudian dibawa ke Pangkalan Angkatan Laut (LANAL) di Pulau Batang, Kepulauan Natuna sebelum dibebaskan Khamis lalu selepas rundingan antara Maritim Malaysia dan TNI-AL.

Bot berkenaan selamat kembali ke Kuching selepas mengharungi pelayaran selama 23 jam dari LANAL di Pulau Batang ke Santubong di sini.

Sementara itu, sebuah lagi bot berdaftar di Sarawak yang ditahan di lokasi hampir sama pada Selasa lalu, difahamkan masih berada di negara jiran itu.

Bagaimanapun, semua tiga kru bot bubu dengan nombor pendaftaran SF166itu adalah warga Indonesia dan ketika ditahan oleh TNI-AL mereka sedang memasang bubu di perairan Tanjung Datu.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...