Bekalan air mesti dihantar enam jam selepas terima aduan- Uggah





Fatimah dan Uggah berbincang selepas sidang media selepas Mesyuarat Pasca Nilai Banjir dan Persiapan Menghadapi Kemarau JPBN Sarawak di sini, hari ini.

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penghantaran bantuan bekalan air kepada penduduk terjejas mesti dilakukan dalam tempoh enam jam selepas menerima aduan.

Beliau berkata itu merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi menangani masalah bekalan air dihadapi penduduk terjejas akibat bencana kemarau melanda Sarawak ketika ini.

"Sarawak sekarang mengalami episod El Nino iaitu musim panas. Walaupun ia lemah tetapi ia dijangka berlaku dari Mac hingga Mei ini dan kita telahpun mula mengalaminya, cuaca kering dan kurang hujan.

"Beberapa tempat, kampung dan rumah panjang telah menghadapi masalah kekurangan air bersih," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan
Mesyuarat Pasca Nilai Bencana Banjir dan Persiapan Menghadapi Kemarau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata bantuan bekalan air mesti sampai kepada penduduk terjejas dalam tempoh enam jam selepas Pejabat Residen menerima aduan bagi mengelak kesulitan lebih teruk dihadapi mangsa.

Justeru ujarnya, semua JPBN peringkat bahagian dan daerah kini dalam keadaan siap siaga dengan bantuan logistik serta peruntukan kewangan disediakan.

Selain itu katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak diberi arahan menentukan bekalan air yang akan diedarkan mencukupi sebelum diagihkan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

"Dari segi logistik, kita dilengkapi dengan lima buah helikopter, dron (lima), 172 lori, 549 van, 109 ambulans dan 283 bot.

"Bagi penghantaran bekalan air ke tempat-tempat terpencil di pedalaman dan pesisir pantai, kalau logistik dari segi kenderaan tidak mencukupi mereka (agensi pelaksana) dibenarkan menyewa apa yang ada.

"Pokoknya adalah kita mesti membekalkan air kepada penduduk yang terjejas secepat mungkin kerana air keperluan sangat penting dalam kehidupan kita," ujarnya.

Selain itu katanya JBALB kini telah memulakan usaha mengisi tangki-tangki air penduduk terjejas di seluruh Sarawak yang dibekalkan dengan kemudahan itu.

"Keutamaan kita sekarang juga ialah mengisi tangki-tangki air penduduk yang masih bergantung kepada sumber air gunung atau altenatif lain. Bagi kawasan yang terpencil dan jauh di pedalaman atau pesisir kita akan cuba guna apa sahaja fasiliti yang ada," ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata ketika ini paras air di empangan-empangan utama di seluruh Sarawak masih pada paras normal.

Dalam perkembangan sama, Uggah berkata beberapa insiden kebakaran terbuka melibatkan hutan dan belukar dilaporkan berlaku di seluruh Sarawak sejak awal Mac 2019 namun kebanyakannya dapat dikawal.

Justeru beliau menasihati orang ramai agar tidak melakukan kebakaran terbuka dan segera melaporkan kejadian itu sekiranya berlaku.

Laporan boleh dibuat kepada agensi-agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRED), Balai Polis, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah di kawasan masing-masing.

"Saya berharap kolaborasi antara semua agensi dengan penduduk setempat akan diteruskan dan apa juga isu yang timbul di  peringkat akar umbi, mesti diselesaikan dengan cepat," katanya.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datu Ik Pahon Joyik.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...