YANG di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib ketika hadir di rumah terbuka Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh di Sibu. - Foto Harun Yahya
SIBU: Parti Rakyat Bersatu (UPP) kini dalam proses memohon kelulusan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi menggunakan nama dan logo baharu.
Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata ia sebahagian daripada transformasi dilaksanakan parti berkenaan bagi memastikannya relevan dengan perkembangan semasa.
“UPP bakal dikenali dengan nama barunya, Parti Sarawak Bersatu (PSB). Kita berharap permohonan ini dapat diluluskan segera bagi membolehkan kita merangka perancangan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, ke rumah terbukanya sempena Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.
Sementara itu, Soon Koh mendedahkan pihaknya juga sedang meneliti kemungkinan menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Itu sedang kita pertimbangkan... kita belum membuat apa-apa permohonan kerana masih menunggu kelulusan nama dan logo baharu parti kita.
“Ia bukan keputusan mudah... kita perlu mengambil kira pandangan semua pihak, khususnya Ahli Jawatankuasa Pusat dan pendirian akar umbi. Ada proses untuk melakukannya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Soon Koh, yang juga Menteri Kewangan II Sarawak yakin ekonomi negeri terus berada pada landasan kukuh tahun ini.
“Kita mengunjurkan perkembangan positif untuk ekonomi Sarawak. Kita yakin 2019 bakal menjadi tahun yang rancak untuk Sarawak,” katanya.-BH Online
No comments:
Post a Comment