Perlis disingkir daripada Liga M

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Selepas masih gagal menyelesaikan isu kewangan biarpun berulang kali diberi amaran, Perlis akhirnya digugurkan daripada Liga Malaysia (Liga M) musim ini berkuat kuasa hari ini.


Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah hari ini sebulat suara membatalkan penyertaan skuad Singa Utara.

Keputusan tersebut dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pada tarikh akhir Isnin lalu (18 Februari 2019).

Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga M musim ini.

“MFL sudah memberi bantuan dan ruang secukupnya untuk Perlis mengatasi masalah kewangan mereka dan akhirnya satu keputusan perlu dibuat bagi memastikan ia tidak memberi kesan lebih buruk kepada pemain-pemain dan Liga Malaysia itu sendiri.

“Dengan keputusan pembatalan penyertaan Perlis, kami prihatin dengan kemelut yang bakal dihadapi pemain Perlis. Justeru itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain Perlis selama 30 hari bermula hari ini bagi memberi ruang kepada mereka mencari pasukan baharu memandangkan tempoh pendaftaran pemain akan ditutup pada jam 11.59 malam ini.

“Selain kes Perlis, MFL turut mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji tetapi buat masa ini kami mengumumkan dahulu keputusan melibatkan Perlis kerana ia adalah kes lebih berat dan mendapat perhatian ramai pihak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah MFL kini sedang menilai kes enam lagi pasukan itu dan akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat.

Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat MIFA Liga Perdana selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya (PJ FC) City FC itu dinaikkan taraf ke Liga Super susulan penarikan diri Felcra FC. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...